TONGOD: Pemimpin di peringkat kampung yang dilantik oleh Kerajaan perlu menumpukan perhatian teliti berhubung isu pemilikan tanah adat.
Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) hendaklah berganding bahu menyelesaikan isu pembangunan tanah di peringkat kampung.
Dalam masa sama penduduk juga tidak harus menuding jari kepada mereka yang dilantik menjadi ketua sehingga membelakangkan bidang kuasa Ketua Kampung atau JPKK, kata Wakil Rakyat Kuamut, Datuk Masiung Banah.
“Jika ada yang rasa tidak puas hati, mereka hendaklah berbincang secara tulus agar semua isu mudah diselesaikan,” katanya semasa menemui penduduk di Kampung Batong Mananam, di sini kelmarin.
Masiung berkata, ada di kalangan penduduk kurang memberi kepercayaan kepada pemimpin di kampung mereka sehingga bertindak mengadu-dumba kepada pemimpin atasan dengan niat menjatuhkan pentadbiran Ketua Kampung dan JPKK.
Sikap ekstrim di kalangan penduduk tidak akan membawa sebarang keuntungan sebaliknya ia boleh membawa perbalahan yang pada akhirnya merugikan kepada semua penduduk, jelasnya.
Beliau juga menegur segelintir pemimpin di peringkat kampung dan daerah dan mahu mereka menjalankan tugas dengan amanah supaya mereka mendapat keyakinan daripada penduduk setempat.
Masiung mengingatkan pemimpin yang diberi kepercayaan sebagai ketua masyarakat agar tidak menyalahgunakan kuasa mereka untuk kepentingan anggota keluarga.
Sebaliknya, katanya, pemimpin dan penduduk hendaklah sentiasa bertukar fikiran dan memupuk wadah perpaduan agar semua isu dapat ditangani dengan berkesan. – Warta Oriental