SANDAKAN: Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Bahagian Sandakan sedang mengesan keluarga atau waris kepada seorang kanak-kanak lelaki yang kini berusia tiga tahun.
Muhammad Fathi Farhan yang dilahirkan pada 12 Jun 2019 ditinggalkan ibu kandungnya kepada seorang wanita di rumahnya di Kampung Air Sandakan, pada tahun yang sama.
Pelindung Kanak-Kanak Bahagian Sandakan, Nurhafiza Abdul Rahman berkata JPKA Bahagian Sandakan menjalankan siasatan untuk mengesan keluarga atau waris kanak-kanak yang ditinggalkan ibunya ketika berusia dua bulan kepada Nir Atma Kijal.
“Ibu kandung kanak-kanak yang bernama Noor Asiah, berbangsa Sungai dan menetap di Kampung Karamunting itu tidak dapat dihubungi sehingga hari ini,” katanya.
Katanya, penjaga kanak-kanak berkenaan telah membuat laporan polis pada 18 Mei 2022 berhubung kes ini.
“JPKA sedang menjalankan siasatan dan kes ini sedang diambil tindakan di bawah Seksyen 17(1)(d) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016),” katanya.
Sehubungan itu, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai ibu kandung atau waris kanak-kanak itu diminta tampil membantu siasatan bagi memudahkan urusan berkaitan kanak-kanak berkenaan.
Orang ramai boleh menghubungi Pelindung Bahagian Sandakan, Nurhafiza ditalian 089-668494 atau 089-667821.
A