JPBD Papar pastikan bekalan air terus dinikmati menjelang Aidilfitri

JPBD-Papar.jpg

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Papar, Mohd Fuad Abdullah pada Sidang Media Perkembangan Bencana Kemarau Daerah Papar semalam.

Kongsi Bersama

PAPAR: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Papar akan memastikan bekalan air terus dinikmati penduduk di daerah itu menjelang sambutan Aidilfitri, kata Pengerusinya Mohd Fuad Abdullah.

Beliau berkata sejak daerah itu dilanda bencana kemarau, pihaknya telah mengagihkan antara 500,000 hingga 1 juta liter air sehari kepada penduduk yang terjejas dan berusaha memastikan penduduk mendapat bekalan air secukupnya.

Beliau berkata ketika ini Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon membekalkan 40 juta liter air sehari (MLD) dan LRA Jentama hanya menghasilkan 8 juta MLD daripada kapasiti 10 juta MLD, manakala LRA Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) Limbahau berkapasiti 10 MLD masih tidak beroperasi.

“Dua LRA ini menghadapi isu sumber air pada tahap kemasinan tinggi pada muka sauk menyebabkan air tidak dapat diproses. Terdapat hujan baru-baru ini tetapi hanya sekitar sejam, kita memerlukan sekitar enam jam hujan lebat di hulu untuk turunkan kadar kemasinan dan bekalan air pada tahap penuh.

“Tidak lama lagi Aidilfitri, kami akan pastikan penduduk dapat nikmati bekalan air untuk mereka meraikan sambutan itu seperti biasa,” katanya pada sidang media perkembangan bencana kemarau daerah Papar di sini hari ini.

Pada 13 Mac lepas, Mohd Fuad yang juga Pegawai Daerah Papar mengisytiharkan daerah itu sebagai kawasan bencana kemarau susulan krisis bekalan air akibat kemarau yang melanda.

Mohd Fuad berkata sembilan tangki statik berkapasiti 10,000 liter setiap satu telah ditempatkan di kawasan memerlukan dan pengisian bekalan air bersih ntuk tangki statik itu dilakukan setiap hari bagi penduduk memperoleh bekalan secukupnya.

Beliau berkata pihaknya turut berharap operasi pembenihan awan (OPA) diteruskan bagi membolehkan lebih banyak hujan dan menambah tahap bekalan air di daerah tersebut.

“Pengisytiharan bencana kemarau di Papar ini hanya akan kita tamatkan apabila keadaan terutama cuaca dan bekalan air pulih seperti sediakala. Kita harap akan berlaku secepat mungkin,” katanya. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top