KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menafikan Ketua Pengarahnya mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang Pegawai Kanan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Rabu.
JPA memandang serius perkara itu dan menegaskan segala pertuduhan terhadap Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) itu adalah tidak berasas.
Ia berniat jahat untuk menjatuhkan imej KPPA sebagai pegawai tinggi kerajaan, kata JPA dalam satu kenyataan awal hari ini.
“Untuk makluman, KPPA telah menegur pihak Imigresen di KLIA khususnya James Lee (pegawai imigresen) akan ketidakpatuhan amalan dan prosedur di mana pegawai tidak menyemak dokumen perjalanan dan pasport KPPA serta delegasi ke luar negara.
“Malahan mereka diarahkan terus ke kaunter pemeriksaan kastam untuk meneruskan perjalanan.
“JPA berpandangan ketidakpatuhan dalam menyemak dokumen imigresen seperti pasport adalah satu kesalahan yang serius di sisi udang-undang.
“Malah, pegawai yang tidak mematuhi peraturan imigresen ke luar negara boleh diambil tindakan tatatertib,” kata JPA.
Mengulas lanjut, jabatan itu menegaskan, teguran yang dibuat bukan di khalayak ramai dan KPPA menasihatkan dengan berhemah supaya pegawai tersebut mematuhi peraturan dan membantu menyelesaikan isu sedemikian.
“Beliau juga mengesyorkan supaya perlunya pihak Imigresen di KLIA meningkatkan pematuhan prosedur operasi piawai (SOP) bagi mengelakkan sebarang ketidakpatuhan imigresen.
“JPA amat kesal dengan kenyataan-kenyataan palsu yang ditularkan di media sosial oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Justeru, JPA ingin mengesyorkan supaya perkara ini disiasat sewajarnya oleh pihak berkuasa yang berkaitan,” tambahnya.
Pada Rabu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin, mengesahkan kejadian yang tular membabitkan pegawai tertinggi kerajaan dengan seorang pegawai imigresen di KLIA.
Bagaimanapun, Hamzah mengakui tidak tahu punca sebenar, namun sudah memberi arahan kepada Jabatan Imigresen supaya menjalankan siasatan dalaman susulan kejadian itu.
Beliau juga sudah memanggil Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud untuk mendapatkan gambaran jelas mengenai kejadian itu.
Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) menyatakan terkilan dengan tindakan pegawai tertinggi kerajaan berkenaan yang didakwa menengking dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai imigresen terbabit.
Presiden KPISM Khairil Niza Khairudin berkata, kejadian itu berlaku antara jam 8.40 dan 9.40 pagi di Balai Berlepas KLIA dan ia dikatakan bermula apabila tiada pegawai imigresen ditempatkan di kaunter bilik VIP KLIA. – AWANI