KOTA KINABALU: Jose Embalo dari Portugal bakal menyarung jersi Sabah FC selaku penyerang bagi menggantikan pemain kelahiran Brazil, Neto Pessoa yang digugurkan.
Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, Neto digantikan Embalo
selepas prestasi pemain itu sedikit menurun akibat kecederaan.
Katanya, walaupun Neto berjaya menjaringkan satu gol ketika Sabah FC menewaskan Sri Pahang FC 2-1 Sabtu lalu, namun secara keseluruhan terdapat beberapa sudut lain yang menyebabkan Neto terpaksa ditukar dalam jendela perpindahan bagi memantapkan lagi jentera serangan Sabah.
“Kita perlu memastikan semua pemain terutamanya pemain import berada pada tahap yang cukup baik untuk bermain bersama Sabah FC.
“Kita harus memikirkan apakah langkah seterusnya, jadi saya membuat keputusan untuk menukarkan Neto kepada Embalo,” kata Kim Swee dalam kenyataan, pada Jumaat.
Menurutnya Embalo sudah memulakan sesi latihan bersama Sabah FC, dan beliau yakin pemain itu akan memberikan impak besar kepada skuad Sabah FC khususnya di bahagian serangan
Kim Swee berkata Embalo berpengalaman bermain dalam banyak liga di Eropah dan berharap ia memberikan kelebihan kepada pemain itu untuk segera menyesuaikan diri dengan rentak permainan pasukan.
Katanya Embalo perlu diberikan sedikit masa dan tidak akan diturunkan dalam perlawanan menentang Selangor FC, kerana beliau baharu sahaja tiba.