NABAWAN: Exco Wiramuda StarSabah Negeri Jordan Jude Ellron menang jawatan Ketua Star Bahagian Nabawan dalam pemilihan parti sempena Mesyuarat Agung Tri Tahunan StarSabah N46 Nabawan di sini pada Sabtu.
Kemenangan itu menyaksikan Jordan yang berusia 27 tahun mencipta sejarah politik tersendiri apabila menjadi Ketua Bahagian yang paling muda dalam parti pimpinan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan itu.
“Saya menerima keputusan perwakilan dengan hati terbuka.
“Ini adalah satu tanggungjawab yang besar untuk kita memastikan Star memberi impak terutama persediaan berdepan pilihan raya umum negeri akan datang,” katanya selepas mesyuarat agung parti itu.
Jordan turut mengajak penyokong Star supaya terus bersatu padu dan bekerja keras bagi memastikan kemenangan calon parti kerajaan pada PRN akan datang.