Joniston Sambut Baik Cadangan Daftar GRS Secara Rasmi

joniston.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Hasrat mendaftar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai gabungan parti politik secara rasmi akan memperkukuhkan lagi kerjasama parti-parti politik dalam gabungan berkenaan.

Menurut Utusan Malaysia, Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, mereka menang atas nama GRS dan ia jelas menunjukkan penerimaan rakyat terhadap GRS begitu baik.

Menurutnya, jika ada keperluan untuk mendaftar gabungan itu, langkah tersebut sejajar dengan keputusan rakyat yang memilih GRS sebagai kerajaan di Sabah.

Walau bagaimanapun jelasnya, perkara itu perlu dibincangan secara terperinci dalam mesyuarat GRS yang akan datang.

“Jika dilihat barisan kepimpinan sudah pun dilantik, kita sudah ada pengerusi dan timbalan pengerusi maka, kita hanya perlu daftar secara rasmi. Namun, perbincangan perlu diadakan terlebih dahulu kerana sebarang keputusan harus bersifat kolektif.

“Jika dilihat parti-parti di bawah gabungan ini memang mempunyai hubungan kerjasama yang baik jadi, kenapa tidak bawa (kerjasama ini) sehingga ke tahap yang lebih tinggi? Pendaftaran GRS secara rasmi untuk mengukuhkan lagi kerjasama sedia ada,” katanya dalam sidang akhbar mengenai Kongres Taman Asia kedua pada Jumaat.

Joniston yang juga Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, setakat ini belum ada tarikh mengenai mesyuarat GRS yang seterusnya namun, isu berkaitan pendaftaran gabungan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

“Kita belum tahu bila mesyuarat berikutnya namun, kita serahkan kepada kebijaksanaan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, sama ada pendaftaran GRS bagi mengelak pertembungan kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat yang akan datang kerana masih terlalu awal untuk menyatakannya.

Kelmarin, Pengerusi Kelab Backbenchers GRS, Datuk Seri Salleh Said Keruak mencadangkan agar GRS didaftar sebagai gabungan parti politik secara rasmi untuk mengelak berlaku pertembungan seperti situasi yang berlaku pada PRN Melaka.

Bekas Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan itu berkata, situasi yang berlaku semasa PRN Melaka memberi petunjuk jelas untuk pemimpin GRS bertindak dalam memperkasakan hala tuju GRS di negeri ini.

Setakat ini, GRS memiliki 50 kerusi DUN termasuk enam ADUN dilantik dan empat ADUN Bebas yang menyokong kerajaan manakala pembangkang hanya mempunyai 28 kerusi.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top