Joniston Gesa KPM Segerakan Pembinaan SMK Nabalu

joniston.jpg
Kongsi Bersama

KIULU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa supaya menyegerakan pembinaan bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabalu dekat sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu Datuk Joniston Bangkuai berkata, tapak sekolah berkenaan sudah dikenal pasti dan disahkan selamat untuk pembinaan.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya pihak KPM tidak menangguhkan lebih lama bagi pelaksanaan kerja-kerja pembinaan sekolah itu.

“Berapa lama lagi kita perlu menunggu untuk pembinaan sekolah ini? Tidak dinafikan dengan adanya SMK Nabalu, ia membantu menangani isu kesesakan murid di sekolah berdekatan terutama apabila sesi kemasukan pelajar baharu,” katanya.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar itu berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Tun Fuad Stephens di sini kelmarin.

Pada 28 Januari tahun ini, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mohamad Alamin mengadakan lawatan ke Kampung Giok dekat Pekan Nabalu untuk memeriksa tapak pembinaan SMK Nabalu.

Semasa lawatan itu, Mohamad mengumumkan pembinaan sekolah berkenaan dimasukkan dalam pelaksanaan Rolling Plan Ketiga di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Pada awalnya, pembinaan SMK Nabalu sepatutnya dijalankan di tapak berhampiran pada 2012.

Bagaimanapun, selepas dua tahun kerja pembinaan sekolah itu diarahkan untuk berhenti berikutan tapak terbabit dianggap tidak selamat.

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), antara agensi yang berkaitan membuat penilaian tapak baharu dan menentukan ia sebagai lokasi yang selamat serta berdaya maju untuk pembinaan dan pembangunan sekolah.

Dalam pada itu, semasa mesyuarat itu Joniston turut menggesa pihak berkenaan supaya mempercepatkan proses pembinaan asrama yang dibiayai oleh Perbadanan Pinjaman Sabah untuk SMK Tun Fuad Stephens.

Selain itu beliau turut mengingatkan para pelajar yang layak mengundi tidak lama lagi untuk mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan khususnya berkaitan isu semasa.

Menurutnya, golongan muda kini mempunyai tanggungjawab untuk membiasakan diri dengan isu-isu kritikal dan landskap politik semasa negeri dan negara berikutan pelaksanaan Undi18.

“Kita hidup dalam dunia tanpa sempadan yang menyediakan pelbagai berita. Ini adalah cabaran untuk anak-anak kita dalam menentukan apa yang benar dan tidak.

“Saya mahu anak-anak kita berfikir secara kritis mengenai dunia di sekeliling mereka dan berharap mereka mampu membuat keputusan yang terbaik.

“Pada masa sama, menjadi tanggungjawab kedua ibu bapa dan guru untuk membimbing anak-anak muda supaya mereka mempunyai pemahaman yang lebih baik serta dapat mewujudkan perspektif mereka sendiri,” jelasnya.

Pada majlis itu, Joniston turut memberikan sumbangan sebanyak RM5,000 untuk sekolah berkenaan membeli dua unit pendingin hawa.

Pihaknya turut berjanji untuk menyumbangkan dana kepada tabung yang disediakan oleh sekolah untuk memberi ganjaran kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Turut hadir, Pengetua SMK Tun Fuad Stephens Awang Seman Ag. Tahir dan Yang Dipertua PIBG SMK Tun Fuad Stephens Koolin Kook Kiong.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top