Joniston Cadang Anjur Festival Nanas Dan Buah-Buahan di Pekan Nabalu

Joniston-nanas.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai mencadangkan supaya Festival Nanas dan Buah-Buahan diadakan di Pekan Nabalu di Ranau, bagi menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong serta mempromosi pengusaha tempatan.

Beliau berkata Pekan Nabalu, yang terletak sebelum Taman Kinabalu dan Gunung Kinabalu, serta perkampungan sekitarnya, adalah pengeluar utama nanas Sabah, justeru menganjurkan acara itu adalah langkah yang sesuai untuk mempromosi pengusaha tempatan selain mengetengahkan kawasan luar bandar Sabah sebagai pusat agropelancongan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kiulu itu berkata usaha tersebut membolehkan penduduk kampung menjalankan perniagaan berasaskan pelancongan sambil mengusahakan nanas dan tanaman lain, sebagai hobi atau mempelbagaikan pendapatan.

“Festival ini juga penting dalam memperhebat usaha mempromosi pelancongan Sabah. Sebagai contoh, Kiulu ialah pusat pelancongan luar bandar dan hab buah-buahan yang memfokuskan pada ekopelancongan dan agropelancongan.

“Selain untuk menarik pengunjung dan pelancong, festival nanas akan memberi peluang kepada petani dan usahawan tempatan untuk mempamerkan produk mereka, membina jaringan dengan pemain industri dan meningkatkan jangkauan pemasaran,” katanya dalam kenyataan selepas melancarkan Festival Kaamatan Pekan Nabalu pada Rabu.

Joniston turut melawat dan bertemu pengusaha gerai di Pekan Nabalu, yang mempunyai banyak gerai makanan dan kraftangan, restoran dan bilik air awam.

Pekan Nabalu yang terletak kira-kira 80 kilometer timur Kota Kinabalu, merupakan tempat tarikan pelancong serta tempat persinggahan pengembara dan pelancong dalam perjalanan ke Taman Kinabalu dan Gunung Kinabalu.- BERNAMA.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top