Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi dikatakan mendapat perkenan sebagai menteri besar Johor yang baru.
Malaysiakini yang memetik sumber dalaman Umno melaporkan, bekas exco kerajaan negeri itu bakal mengangkat sumpah esok.
Umno dikatakan mengemukakan tiga nama iaitu penyandang, Datuk Ir. Hasni Mohammad, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan Onn Hafiz sebagai calon menteri besar.
Bagaimanapun nama Onn Hafiz dikatakan telah mendapat perkenan istana.
Ia dikuatkan lagi dengan kenyataan Hasni lewat petang tadi yang mencadangkan pemimpin muda menerajui kerajaan negeri.
“Umno mengemukakan tiga nama termasuk Hasni, namun hanya satu nama yang dipilih.
“Hampir pasti Onn Hafiz bakal menteri besar Johor yang baru,” kata sumber berkenaan kepada Malaysiakini.
Onn Hafiz yang berusia 43 tahun merupakan anak saudara kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan cicit kepada Onn Jaafar yang mengasaskan Umno.
Pada pilihan raya negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, Onn menewaskan tiga pencabarnya di kerusi DUN Machap dengan majoriti 11,029 undi.
Terdahulu dalam satu kenyataan, Hasni yang juga pengerusi BN Johor mencadangkan pucuk pimpinan parti agar memilih orang muda untuk memimpin Johor, setelah melihat sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan negeri.
Hasni berkata langkah itu juga demi memastikan kemakmuran negeri berpanjangan.
Dalam kenyataan lewat petang ini, dia berkata kerajaan negeri di bawah pimpinannya telah berikhtiar sebaik mungkin untuk menjadikan Johor berdaya tahan dalam mendepani cabaran-cabaran pandemik Covid-19.
“Insya-Allah di bawah kepimpinan baru, negeri Johor akan menjadi lebih makmur dan sejahtera,” kata Hasni.
Sementara itu Utusan Malaysia pula dalam laporannya menyebut, persoalan mengenai siapa calon Menteri Besar Johor terus menjadi tanda tanya setelah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tergesa-gesa meninggalkan Bangunan UMNO.
Beliau sebelum itu menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada pukul 2.50 petang dan kembali ke Bangunan UMNO setelah hampir satu jam menghadap baginda.
Tidak lama kemudian, Ahmad Zahid dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Hasni meninggalkan Bangunan UMNO kira-kira pukul 4.30 petang.
Ketiga-tiga mereka dengan wajah yang serius tidak memberikan sebarang kenyataan kepada pengamal media yang berkumpul di situ sebelum menaiki kenderaan berasingan meninggalkan kawasan tersebut.
Difahamkan, ketiga-tiga pemimpin tersebut bergerak ke kediaman rasmi Menteri Besar di Saujana.