John Angian Nafi Tinggalkan UPKO

upko.jpeg
Kongsi Bersama

KENINGAU: “Ada kawan-kawan yang ‘spin’ serta memutar belit bahawa saya sudah meninggalkan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO). Saya sekeras-kerasnya menafikan andaian dan dakwaan ini. Itu tidak betul,” tegas bekas pemimpin UPKO, Datuk John Angian.

John dalam sidang medianya baru-baru ini ahli politik veteran itu mengakui memang dia ada bertemu dengan beberapa individu termasuk dari parti lain sehingga menimbulkan khabar angin sejak dua minggu lalu bahawa dia akan meninggalkan parti UPKO namun ia adalah tidak benar.

“Saya akui, memang saya ada menghadiri satu perjumpaan dengan beberapa individu, termasuk beberapa pemimpin parti lain awal bulan ini dan dalam keakraban sesama kita orang Sabah, dalam sekelip mata ada sesi ambil gambar dan saya ada bersama mereka.

“Namun, siapa pun kita, bila berjumpa orang yang kita kenal di mana-mana pun, sekurang-kurangnya kita akan bersalaman dan kalau sekarang mungkin ambil ‘selfie’ atau ‘wefie’. Saya yakin kemesraan sedemikian tidak salah, malah seharusnya kita pupuk demi perpaduan dan keharmonian kita semua di Sabah.

“Saya yakin kemesraan ini tidak salah malah harus dipupuk demi perpaduan dan keharmonian rakyat di Sabah,” katanya.

Sehubungan itu, John menegaskan bahawa dia tidak pernah keluar daripada UPKO, malah tidak pernah memohon untuk menyertai parti lain.

“Saya kekal bersama UPKO dan akan terus memberikan khidmat bakti seadanya kepada parti keramat kita ini.

“Dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah ini, saya juga sudah pun mula berkempen bagi UPKO walaupun hanya melalui panggilan telefon dan keadaan-keadaan tertentu yang sesuai.

“Saya sudah berumur, namun cukup bersemangat kerja keras dan kerja secara bijak (work smart) untuk melihat UPKO terus relevan serta kekal dengan perjuangan yang kami sudah sama-sama pikul sejak sekian lama,” katanya.

John berkata, dia yakin dengan kepimpinan UPKO yang diterajui Presiden Datuk Seri Wilfred Madius Tangau akan beroleh pencapaian gemilang dalam PRN ini.

“Saya menggesa kita semua untuk berdoa bagi Sabah, Pray4Sabah. Semoga PRN ini berjalan dengan licin dan lancar, serta akhirnya kita beroleh Kerajaan Sabah yang kukuh, progresif dan ikhlas,” katanya. – Borneo Today

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top