Johari Abdul Dipilih Sebagai Speaker Dewan Rakyat

Johari-Abdul.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR : Bekas Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dipilih sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu selepas memperoleh sokongan 147 undi.

Keputusan undian secara sulit itu diumumkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin.

Seorang lagi calon iaitu bekas Ahli Parlimen Kangar, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad memperoleh 74 undi.

Pada proses pengundian itu, setiap Ahli Parlimen diberi satu kertas dan mereka perlu menulis nama calon yang disokongnya, sebelum kiraan undi dibuat.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan cadangan mencalonkan Johari sebagai calon Speaker Dewan Rakyat mewakili kerajaan dan disokong Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin pula mencadangkan Mohd Radzi sebelum disokong Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Johari pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Biro Tata Negara (BTN) selain mempunyai ijazah sarjana di dalam Pengajian Strategik dari University of Lancaster.

Beliau menjadi Parlimen Sungai Petani sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, namun mengambil keputusan tidak bertanding pada PRU15 lalu, dengan kerusi lamanya kini disandang anaknya, Dr Taufiq.

Semalam, beliau juga mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun berkuat kuasa serta-merta melalui sepucuk surat yang dikirim bertarikh 13 Disember lalu.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top