RANAU: Masalah infrastruktur jalan raya yang teruk di Kampung Gusi, Kundasang mendapat perhatian Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Joachim Gunsalam.
Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang melakukan lawatan kerja ke kampung itu kelmarin, untuk meninjau keadaan jalan yang berlumpur dan merasai sendiri kesusahan rakyat setiap kali menggunakan jalan berkenaan.
Berikutan itu, Joachim dalam kenyataannya berharap Jabatan Kerja Raya (JKR) dapat menyegerakan pelan pembangunan jalan tersebut agar kerja-kerja menaik taraf kemudahan rakyat itu dapat dilakukan.
“Saya berharap dalam masa terdekat ini, pelan pembangunan daripada pihak JKR akan dapat diketengahkan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil demi memberikan kemudahan infrastruktur yang lengkap dan terbaik kepada masyarakat kampung berkenaan.
“Saya berharap agar pihak JKR akan menaik taraf, menyelanggara dan meningkatkan kemudahan jalan raya di kawasan terbabit,” katanya.
Sepanjang lawatan itu, Joachim disertai jurutera daerah Ranau, Mac Glen Frederick Lojuman dan kakitangan JKR.
Kampung Gusi yang terletak 80 kilometer dari pekan Ranau mengambil masa selama enam jam menaiki pacuan empat roda untuk sampai kerana jalannya yang berlumpur.
Rata-rata penduduk di kampung berkenaan merupakan petani dan memerlukan kemudahan jalan yang lebik baik untuk memasarkan produk pertanian mereka.
Sementara itu, dalam lawatan kerjanya, Joachim turut mendengar taklimat mengenai langkah-langkah pencegahan Covid-19 di Kundasang dan Ranau untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela.
Antara yang difokuskan ialah penyerahan bakul makanan untuk memastikan rakyat yang tinggal di pedalaman tidak terlepas daripada menerima setiap bantuan yang disediakan.
Joachim turut menyerahkan bakul makanan kepada wakil keluarga di Kampung Meridi Kaingaran yang diarahkan kuarantin oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.
“Bagi daerah Ranau sehingga hari ini sebanyak 350 bakul bantuan telah disumbangkan. Ia dikendalikan oleh Pejabat Daerah Ranau dan di bantu oleh Jabatan Kebajikan dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
“Manakala kelengkapan lain seperti kelengkapan PPE, pihak Kesihatan akan menerima bekalan berkala. Walaupun pada masa tertentu penggunaan PPE agak tinggi namun, bekalan masih mencukupi,” katanya. – BORNEO TODAY