Joachim mahu MAN lakukan transformasi kepimpinan

dr-joachim-1.jpg

RANAU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam mahu setiap Mahkamah Anak Negeri (MAN) melakukan transformasi kepimpinan dalam membudayakan sikap profesionalisme.

Beliau berkata, sikap profesionalisme yang tinggi harus dititikberatkan agar dapat memberikan gambaran kepada orang awam betapa warga kerja seperti ketua-ketua adat mempunyai nilai komitmen dan dedikasi tinggi.

Katanya, sikap profesionalisme akan dapat meningkatkan keyakinan dan persepsi orang awam terhadap kualiti sistem penyampaian perkhidmatan MAN.

Selain itu, ia dapat mencapai matlamat Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS) dalam memartabatkan adat warisan serta memelihara hak anak negeri.

“Transformasi kepimpinan memerlukan tekad, komitmen dan usaha berterusan dari semua pihak,” katanya merasmikan penutupan Kursus Transformasi Kepimpinan Ketua-ketua Adat Cemerlang Siri 5 Tahun 2024 bagi Daerah Ranau di Dewan Masyarakat Ranau, di sini kelmarin.

Seramai 203 peserta hadir dalam kursus tersebut yang melibatkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kundasang, Karanaan dan Paginatan.

Joachim yang juga ADUN Kundasang berkata, KKTP melalui JHEANS mengambil berat akan keperluan ketua-ketua adat dalam memastikan perkhidmatan mereka diperkasakan.

Beliau berharap semua peserta mengaplikasikan sebaik mungkin apa yang telah dipelajari sepanjang kursus itu.

Katanya, melalui kursus sedemikian, ketua-ketua adat boleh menyampaikan perkhidmatan sesuai dengan apa yang mereka telah pelajari dan sekaligus dapat mencerminkan imej dan budaya korporat MAN yang cemerlang.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS), Majaran Osman; Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggan; Ketua -ketua Daerah, OKK Muhasip Haji Ruman dan OKK Domonic Ganie dan Pegawai Pemimpin Masyarakat N.36 Kundasang, Dounis Sani –Utusan Borneo.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top