TUARAN: Pendekatan ‘Tuaran Bersih’ menjadi antara fokus manifesto calon Parti Warisan (Warisan) bagi Parlimen Tuaran, Jo-Anna Sue Henley Rampas.
Jo-Anna berkata, mungkin sesetengah pihak melihat aspek berkenaan suatu perkara remeh namun hakikatnya ia faktor kebersihan sesebuah lokasi itu menjadi faktor utama bagi menarik kunjungan pelancong tempatan dan luar negara.
“Tuaran yang bersih akan menggalakkan lagi pelancong berkunjung dan merancakkan aktiviti pelancongan selain untuk kesejahteraan rakyat di parlimen ini.
“Tuaran Bersih juga bermaksud tiada rasuah, jadi perkhidmatan pihak berkuasa tempatan lebih baik dan menepati kehendak rakyat,” katanya ketika dihubungi, pada Ahad.
Mengulas mengenai manifesto lain, Jo-Anna menyatakan ia termasuklah menyediakan kemudahan infrastruktur jalan raya, bekalan air dan elektrik, rangkaian telekomunikasi serta sekolah demi kemudahan penduduk di Parlimen Tuaran.
“Begitu juga isu bekalan air di mana Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan semua pihak berwajib perlu duduk semeja dan menyelesaikan isu berkenaan secara keseluruhan.
“Bekalan elektrik yang tidak stabil akan diselesaikan, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) perlu menaik taraf semua stesen janakuasa yang terdapat di kawasan Tuaran.
“Menara telekomunikasi akan dibina di Tuaran terutama kawasan pedalaman bagi memperluaskan capaian internet penduduk dan kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan syarikat telco akan dilaksanakan demi memastikan kemudahan internet kepada rakyat Tuaran lebih baik.
“Beberapa sekolah baharu sama ada sekolah rendah atau menengah perlu dibina di Tuaran kerana pertambahan penduduknya. Jadi sekolah baharu akan dibina di kawasan yang strategik bagi memudahkan perjalanan ke sekolah selain dapat mengurangkan kepadatan pelajar di sekolah yang sedia ada,” katanya. – HMetro