KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya (KKRS) meminta agar semua pejabat daerah di negeri ini menyerahkan status terkini jalan-jalan di kawasan masing-masing yang memerlukan perhatian baik pulih atau penyelenggaraan, agar tindakan sewajarnya dapat dilakukan.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Datuk Ir. Ali Ahmad Hamid berkata, status jalan sahih yang diperoleh dan bukan dibawah seliaan KKRS akan membolehkan KKRS memohon dana dan perhatian daripada pihak yang bertanggungjawab terhadap jalan tersebut, sekaligus menyegerakan proses baik pulih atau penyelenggaraan khususnya terhadap jalan-jalan yang rosak.
“Agak sukar mengelak persepsi masyarakat, apabila berlaku isu-isu kerosakan jalan raya semuanya dikaitkan dengan JKR, walaupun jalan yang diadukan atau pun tular di media sosial bukanya dibawah penyelanggaran JKR,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis iftar Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Seri Bung Moktar Radin bersama warga KKRS di salah sebuah hotel di sini baru-baru ini.
Menurut Ali, banyak kategori jalan antaranya jalan persekutuan, jalan pertanian, jalan ladang, jalan pihak berkuasa tempatan atau jalan agensi lain yang bukan di bawah bidang kuasa JKR untuk memperbaikinya apabila berlaku keroskan.
“Dengan adanya status jalan ini memudahkan pihak kami (JKR) membuat tindakan susulan terutamanya bagi jalan yang tidak berstatus, dimana pihak kami akan membantu pejabat daerah berkenaan untuk memasukkan jalan dimaksudkan ke dalam Malaysia Road Record Information System (MARRIS) dan Sabah Road Record Information System (SARRIS) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, jika status jalan ini diperolehi pihak JKR akan menghantar pegawai untuk melakukan pengukuran, mengenal pasti nama jalan dan kemudian akan masukkan dalam senarai MARRIS untuk peruntukan segera dan jika tidak dapat dilaksanakan pada tahun yang sama akan dipohon peruntukan untuk tahun berikutnya.
“Sebab itu, JKR memerlukan status jalan dari pihak pejabat daerah bagi kawasan masing-masing ini,” ujarnya.
Ali menambah, pihaknya telah pun mengemukakan surat berhubung dengan perkara ini kepada pihak Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan agar setiap pejabat daerah memberikan kerjasama bagi mengenal pasti status jalan di kawasan masing-masing dan setakat ini ada tiga pejabat daerah sudah menghantarnya antaranya Pejabat Daerah Nabawan dan Tenom
Beliau berkata, JKR sentiasa komited terhadap setiap aduan yang diterima daripada orang awam berhubung jalan-jalan rosak di negeri ini yang mana, pegawai jabatan akan segera dihantar untuk memeriksa dan menilai jalan yang dilaporkan dan melakukan penyelenggaran jika jalan yang diadukan di bawah seliaan JKR.