BELURAN: Kementerian Kerja Raya Sabah menganggarkan RM15 juta peruntukan diperlukan bagi membaikpulih kerosakan jalan akibat tanah runtuh di kilometer 127.7, Jalan Paitan – Kanibungan, di Paitan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata jalan raya itu akan dibaikpulih bagi menyambung semula jalan berkenaan yang runtuh dan menyebabkan jalan terputus. Kuarters Loji Rawatan Air Paitan juga turut runtuh.
“Peruntukan dianggarkan RM15 juta tetapi mungkin kurang atau lebih dari jumlah anggaran itu.
“Kita akan meminta laporan dari pakar-pakar yang kita libatkan dalam pembinaan semula jalan ini,” katanya selepas melawat jalan raya berkenaan pada Selasa.
Bung Moktar berkata pakar-pakar ini adalah yang terlibat dalam penentuan bajet-bajet kerana kerja-kerja baikpulih itu memerlukan banyak kerja teknikal.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah telah mengarahkan Pejabat Daerah Kecil Paitan untuk membuat menyuarat khas dengan memanggil semua agensi berkaitan bagi membuat kajian ke atas jalan raya putus.
Bung Moktar juga mahu Jabatan Geologi Sabah, Jabatan Pengaliran Dan Saliran Sabah dan Jabatan Tanah Dan Ukur Sabah dilibatkan dalam mesyuarat khas itu.
“Saya mahu masalah ini dapat diselesaikan dalam empat atau lima bulan ini,” katanya.
Menurutnya, beliau telah diberi taklimat oleh Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Air mengenai kejadian berkenaan.
“Kejadian ini menimbulkan masalah dengan menjejaskan ekonomi rakyat”, katanya.
Bung Moktar berkata apabila jalan raya ini putus sudah tentu pengusaha sawit tidak dapat menghantar buah sawit mereka ke kilang-kilang.
Turut sama, Menteri Pelancongan Dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin, Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Limus Jury dan Pembantu Menteri Pertanian Dan Perikanan Sabah yang juga ADUN Sugut Datuk James Ratib.