JKNS Wujudkan Jawatankuasa Siasatan Bebas Siasat Dakwaan Perkhidmatan KK Nangoh

Klinik-Beluran.jpg
Kongsi Bersama

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mewujudkan Jawatankuasa Siasatan Bebas bagi menyiasat satu dakwaan berkenaan perkhidmatan kakitangan Klinik Kesihatan (KK) Nangoh, Beluran.

Jurucakap JKNS dalam satu kenyataan di sini kelmarin memaklumkan pihaknya maklum berkenaan satu kenyataan yang ditularkan di media sosial berkaitan mutu perkhidmatan dan layanan kakitangan terhadap seorang pesakit kes positif COVID-19.

“Hasil siasatan yang dijalankan melibatkan berlakunya salah faham antara kakitangan KK Nangoh dan keluarga pengadu dalam pengendalian kes berkenaan.

“Berdasarkan siasatan juga tiada layanan kasar dan kata-kata kesat yang dikeluarkan oleh petugas kesihatan yang mana perkara ini diajui sendiri oleh keluarga pesakit,” katanya.

Tambahnya pesakit juga sudah dibawa ke fasiliti kesihatan menggunakan kenderaan pacuan empat roda milik JKNS dengan kerjasama kakitangan KK Nangoh dan Pejabat Kesihatan Kawasan Beluran.

“JKNS bagaimanapun komited untuk menambahbaik mutu perkhidmatan dan fasiliti kesihatan di negeri ini.

“Orang awam juga dinasihatkan agar menyalurkan sebarang aduan mengikut saluran yang betul iaitu dalam Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) agar siasatan dapat dijalankan serta merta.

“Tindakan ini juga adalah bagi mengelakkan kesan tidak diingini berlaku,” katanya.

Terdahulu seorang pengguna media sosial Facebook mendakwa ahli keluarganya diarahkan balik ke rumah sebaik disahkan positif tanpa melalui kaedah pemeriksaan sepatutnya.

Pengguna itu juga mempersoalkan tindakan itu yang mana dilihat menyusahkan berikutan jarak KK Nangoh ke rumah mereka terletak sejauh 22 kilometer tambahan pula bapanya mengalami kesukaran bergerak.

Mereka kemudianya diarahkan untuk kembali ke KK Nangoh bagaimanapun berlaku sedikit salah faham berkenaan isu pengangkutan sebelum ianya diselesaikan dengan kehadiran kakitangan dari Hospital Beluran untuk membawa pesakit COVID-19 mendapatkan rawatan.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top