JKNS siasat dakwaan pesakit meninggal akibat tidak mendapat rawatan sewajarnya

hospital-tuaran.jpg

(Gambar hiasan)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sedang menyiasat dakwaan berkaitan kegagalan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tuaran, di sini, memberikan rawatan yang tepat kepada seorang pesakit sehingga meninggal dunia.

Pengarahnya, Dr Asits Sanna, berkata JKNS memandang serius isu pengurusan pesakit terbabit yang tular di media sosial dan mendapat perhatian pelbagai pihak, beberapa hari lalu.

Beliau berkata, JKNS juga mengambil perhatian terhadap semua maklum balas yang diterima berhubung kes itu, selain memastikan siasatan terperinci dan telus dijalankan.

“Satu siasatan terperinci dan telus berhubung perkara itu kini sedang dijalankan.

“Selepas itu, satu pertemuan bersama pihak keluarga juga akan diadakan bagi membincangkan dengan lebih lanjut berhubung perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan yang tular di media sosial berhubung seorang pesakit yang dibenarkan pulang selepas dikatakan tidak mengalami masalah kesihatan serius oleh hospital berkenaan, sebelum dilaporkan meninggal dunia.

Dr Asits berkata, pihaknya juga akan melakukan penambahbaikan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan hospital di negeri ini.

“JKNS juga menggesa semua warga kerjanya agar sentiasa melaksanakan tugas mengikut standard pengurusan pesakit yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan pesakit,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau yang melawat keluarga arwah pesakit terbabit, berkata beliau dimaklumkan bahawa pihak hospital mendapati tiada masalah serius dan membenarkannya pulang selepas menjalani pemeriksaan.

Katanya, sebelum itu arwah pesakit terbabit dibawa ke Hospital Tuaran yang terletak berdekatan rumahnya selepas mengalami rasa sakit akibat terjatuh.

“Selepas menjalani pemeriksaan kesihatan, pihak hospital mendapati tiada masalah serius dan membenarkannya pulang.

“Namun, pada hari berikutnya, keadaan arwah semakin teruk dan keluarganya membuat keputusan untuk membawa beliau ke sebuah hospital swasta.

“Di sana, arwah disahkan mengalami pendarahan dalaman di perut dan memerlukan pembedahan tetapi mereka tidak mempunyai peralatan yang diperlukan.

“Di sini timbul persoalan mengapa Hospital Tuaran tidak membuat diagnosis yang tepat dan membenarkannya pulang,” katanya melalui perkongsian di akaun Facebook beliau.

Madius berkata, beliau difahamkan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tuaran tidak mempunyai doktor pakar dan pengalaman yang mencukupi bagi mengendalikan pesakit.

Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil perhatian serius terhadap perkara itu dan mengambil langkah segera menambah bilangan pakar serta peralatan di Hospital Tuaran.

Katanya, kes pesakit terbabit bukan yang pertama, sebaliknya pernah berlaku sebelum ini seperti didakwa penduduk daerah itu.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top