KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memandang serius dakwaan mengenai seorang pegawai perubatan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di sini, yang dikatakan bertindak kasar dan tidak profesional terhadap pesakit.
HMetro dalam laporannya hari ini memetik Pengarah JKNS, Dr Asits Sanna sebagai berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan terperinci dan telus berhubung dakwaan pesakit terhadap pegawai perubatan terbabit sebelum mengambil sebarang tindakan sewajarnya.
Beliau berkata, siasatan itu dijalankan selepas seorang pesakit mengadu dilayan dengan kasar oleh seorang pegawai perubatan dikenali sebagai ‘Azlinah’ berdasarkan laporan sebuah portal berita tempatan, kelmarin.
“JKNS ingin merujuk kepada petikan artikel bertajuk ‘Pengurusan Hospital Likas Perlu Ambil Tindakan Kepada Pegawai Perubatan Dikenali ‘Azlinah’ yang diterbitkan dalam sebuah portal tempatan pada 18 Julai lalu.
“Adalah dimaklumkan bahawa jabatan ini memandang serius perkara ini dan siasatan terperinci serta telus sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Menurut laporan itu, pesakit terbabit difahamkan mengadu tidak dirawat selepas lebih dua jam datang ke wad kecemasan HWKKS atau juga dikenali sebagai Hospital Likas, selain terpaksa menunggu di luar bangunan ketika hujan lebat.
Pesakit terbabit mendakwa dilayan dengan kasar oleh pegawai perubatan dikenali sebagai ‘Azlinah’ apabila beliau bertanya bila akan dipanggil hingga menyinggung perasaannya dan pesakit lain yang sudah lama menunggu.
Dr Asits berkata, satu pertemuan bersama pihak pengadu juga akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan dengan lebih lanjut berhubung perkara itu.
Katanya, pihaknya sentiasa mengambil perhatian terhadap maklum balas yang diterima dan melakukan langkah penambahbaikan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelanggan.
“Jabatan ini juga menyeru kepada semua warga kerja JKNS agar sentiasa bersikap profesional dan mengamalkan komunikasi berkesan serta berhemah kepada semua pelanggan pada setiap masa,” katanya.