JKNS sahkan tiada penduduk keracunan Sodium cyanide di kawasan lombong emas Bukit Mantri

Dr-Asits-Sanna.jpg

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Asits Sanna (gambar) bersama pegawai kanan JKN Sabah telah mengadakan lawatan pemantauan pada hari kejadian dan beberapa tindakan susulan telah diambil secara tuntas.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan tiada penduduk terjejas atau mengalami keracunan Sodium cyanide di kawasan perlombongan di Bukit Mantri, Balung, Tawau sepertimana yang didakwa sebuah portal baru-baru ini.

Artikel yang bertajuk “Penduduk alami sakit,muntah akibat terhidu sisa toksik lombong haram di Bukit Mantri, Balung di daerah Tawau” menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr. Asits Sanna berkata, artikel terbabit juga mempersoalkan implikasi kesihatan yang akan dialami oleh penduduk di sekitar kawasan berkenaan.

Katanya, bertindak dengan isu ini, JKNS bersama beberapa pihak berkaitan menjalankan siasatan dan tindakan bagi mengenal pasti keadaan sebenar di lokasi terbabit.

Menurutnya, JKNS dengan bantuan Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Tawau segera membuat siasatan serta verifikasi berkenaan aduan ini.

“Hasil siasatan mendapati tiada sebarang kejadian seperti yang dinyatakan berlaku di kawasan ini dan kesemua fasiliti kesihatan swasta, kerajaan dan hospital tidak melaporkan sebarang kes berkenaan keracunan Sodium cyanide.

“Siasatan dan pemeriksaan di kawasan perkampungan sekitar juga mendapati tiada individu yang mengalami gejala yang dinyatakan.

“PKK Tawau juga menjalankan pemantauan bersama dengan JPASS dan hasil operasi mendapati tidak ada sebarang implikasi negatif terhadap kesihatan penduduk Kampung Balung Cocos secara khususnya dan Penduduk Tawau secara umumnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Bercakap lanjut beliau berkata, pihak Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (JPASS) mengesahkan terdapat aktiviti perlombongan emas di lokasi terbabit yang sudah diluluskan untuk beroperasi berdasarkan kepada hasil laporan Environmental Impact Assessment (EIA).

“Penggunaan Sianida untuk mengekstrak emas di kawasan itu juga dijalankan secara tertutup dan pelupusannya adalah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, pencemaran Sianida boleh menyebabkan pencemaran udara serta air dan boleh memberi kesan kesihatan negatif kepada kepada individu yang terdedah.

“Kesan khusus keracunan Sianida kepada kesihatan adalah gejala seperti kekeliruan, perubahan tingkah laku, mengantuk yang berlebihan, sesak nafas, sakit kepala, pening, muntah, sakit perut dan pengsan.

“Pihak JKNS ingin menasihati semua penduduk yang mempunyai gejala-gejala ini agar mendapatkan rawatan segera di klinik-klinik kesihatan atau hospital berdekatan.

“JKNS bersama dengan agensi berkaitan akan terus memantau situasi kesihatan penduduk kampung yang terlibat dan penduduk di daerah Tawau,” katanya.

Katanya, sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – UTUSAN BORNEO

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top