KOTA KINABALU: Dakwaan yang diviralkan di laman sosial media yang mengaitkan kematian seorang remaja dengan dos penggalak vaksin Covid-19 adalah tidak benar.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr. Rose Nani Mudin berkata siasatan segera mendapati isu yang diviralkan itu adalah palsu.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, beliau berkata pesakit terbabit meninggal dunia pada 12 Februari 2022.
Katanya punca sebenar kematian adalah disebabkan jangkitan paru-paru dan penyakit jantung sejak lahir (congenital heart disease) yang semakin tenat dan bukannya disebabkan dos penggalak vaksin Covid-19 seperti yang didakwa.
Dr Rose Nani berkata keadaan pesakit telah dimaklumkan kepada ahli keluarga pesakit dan mereka menerima penerangan mengenai punca kematian dengan baik.
Katanya siasatan juga mendapati pesakit telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 pada 31 Julai 2021 dan dos kedua pada 21 Ogos 2021.
Menurutnya ibu pesakit dan pihak Hospital Tuaran telah mengesahkan pesakit tidak pernah mengambil dos vaksin penggalak.
Berikutan itu, katanya satu laporan polis dibuat oleh ibu pesakit pada 13 Februari 2022 yang menafikan bahawa kematian anaknya adalah disebabkan oleh dos penggalak vaksin Covid-19, dan beliau juga menafikan bahawa ahli keluarga membuat penularan dalam aplikasi Whatsapps mengenai kematian anaknya disebabkan oleh dos penggalak.
Pihak Hospital Tuaran juga telah membuat laporan polis untuk siasatan dan tindakan lanjut mengenai penularan berita palsu dan gambar pesakit di aplikasi Whatsapps oleh individu individu yang tidak bertanggungjawab, katanya.
Susulan itu, Dr Rose Nani menggesa semua rakyat Sabah agar tidak menularkan berita palsu dalam mana-mana media sosial atau aplikasi yang lain demi kebaikan bersama.