JKNS nafi anjur kempen derma untuk klinik musnah terbakar

klinik-tangkarason.jpg
Kongsi Bersama

SANDAKAN: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menafikan terlibat dengan satu kempen kutipan derma untuk Klinik Kesihatan Tangkarason serta kuarters petugas di Beluran yang musnah dalam kebakaran awal pagi Khamis.

Pengarahnya, Datuk Dr Asits Sanna berkata, jabatan itu maklum akan isu yang sedang tular di media sosial itu dan menegaskan JKNS tiada mengeluarkan arahan mahupun mengelolakan sebarang kempen seumpama itu.

“Jabatan ini ingin menegaskan bahawa kempen derma itu bukan atas arahan atau kelolaan JKNS,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Satu mesej tular sejak semalam mengatakan sebuah persatuan pakar melancarkan satu gerakan kutipan derma dalam kalangan ahlinya untuk klinik berkenaan, namun tidak menyatakan tujuan kutipan derma itu.

Dr Asits berkata, JKNS bersama Kementerian Kesihatan (KKM) akan memastikan kebajikan anggota kesihatan yang terlibat sentiasa dijaga.

Selain itu, beliau berkata, sumbangan telah disampaikan kepada dua kakitangan, yang kuarters mereka terlibat dalam kebakaran itu, untuk meringankan bebanan mereka hadapi.

“Mereka telah ditempatkan di inap desa berdekatan dan juga telah diberikan sokongan pertolongan cemas psikologi (PFA),” katanya.

Dr Asits juga berkata JKNS sentiasa komited dalam memastikan perkhidmatan kesihatan dapat diakses oleh orang awam setiap masa.

Sehubungan itu, perkhidmatan operasi klinik telah dipindahkan buat sementara waktu di Dewan Serbaguna Kampung Tangkarason dan akan mula beroperasi Isnin ini, katanya. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top