KOTA KINABALU: Dalam tempoh tiga hari umat Islam menjalani ibadah puasa, iaitu dari Selasa hingga Khamis, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah mengeluarkan 31 notis kompaun berjumlah RM3,700 kepada pengendali makanan bazar Ramadan di negeri ini.
Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Asits Sanna berkata notis itu dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 240 gerai di bazar Ramadan di 105 lokasi di seluruh Sabah.
“Dalam tempoh tiga hari itu, daerah Tawau mencatatkan pengeluaran jumlah notis tertinggi sebanyak 18 notis diikuti Keningau lapan notis dan selebihnya di lokasi lain,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Bazar Ramadan Lintasan Deasoka di sini pada Jumaat.
Beliau berkata daripada 31 notis berkenaan, 13 dikeluarkan atas kesalahan pakaian pengendali makanan iaitu tidak memakai apron, kasut dan penutup kepala.
Kesalahan lain ialah enggaji pekerja tiada latihan pengendali makanan dan suntikan antitifoid, pekerja tiada sijil latihan pengendali makanan dan pengendali makanan memakai perhiasan diri.
Menurut Dr Asits pada tahun lepas 65 kes keracunan makanan telah dilaporkan, namun bukan erpunca daripada bazar Ramadan.
“Setakat ini, tiada aduan atau kes keracunan makanan dilaporkan dan diharapkan keadaan ini kekal seperti tahun lepas,” katanya.