JKDM Sabah sah terima rampasan 110kg emas, namun dikembalikan

Datuk-Nasir-Kastam.jpg

Datuk Mohd Nasir Deraman

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah mengesahkan pihaknya ada menerima serahan 110 kilogram jongkong emas yang dirampas di Lapangan Terbang Tawau pada Selasa.

Bagaimanapun, JKDM turut mengesahkan bahawa tiada pelanggaran di bawah Akta Kastam atau perundangan subsidiari yang dibuat di bawah Akta Kastam 1967 berhubung aktiviti terbabit.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, kenyataan itu susulan laporan media tempatan berhubung satu kes melibatkan rampasan jongkong emas yang ditemukan di Lapangan Terbang Tawau.

Menurutnya, laporan terbabit turut memaklumkan beberapa individu sebagai pembawa ditahan bersama jongkong emas di dalam bagasi penumpang ketika hendak berlepas dari Lapangan Terbang Tawau ke Kuala Lumpur.

“JKDM Sabah ingin memaklumkan bahawa 6 Februari 2024, pada jam 11 pagi telah menerima serahan barangan jongkong emas daripada pihak polis bantuan Lapangan Terbang Tawau.

“JKDM Sabah telah menjalankan siasatan lanjut dan mendapati jongkong emas adalah tidak tertakluk kepada Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023, Perintah Kastam (Larangan mengenai Eksport) 2023 dan Permit Pergerakan di bawah Perintah Kastam (Larangan Pemindahan) 2022,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sehubungan itu, Mohd Nasir berkata, JKDM mengesahkan bahawa tiada pelanggaran berhubung aktiviti membawa emas tersebut.

“Tiada pelanggaran di bawah Akta Kastam atau perundangan subsidari yang dibuat dibawah Akta Kastam 1967.

“Oleh itu, barangan terbabit telah dikembalikan kepada pembawa,” katanya. – SINAR HARIAN

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top