JKDM Sabah rampas enam kontena cuba seludup minuman keras lebih RM2.7 juta

kastam-rampas-1.jpg

Mohd Nasir menunjukkan rampasan minuman keras semasa sidang media.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah sekali lagi menggagalkan cubaan menyeludup minuman keras masuk ke negeri ini dengan merampas enam kontena mengandungi barang tidak bercukai itu dalam beberapa siri pemeriksaan bermula 10 hingga 23 Mei lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, rampasan minuman keras pelbagai jenis yang tidak bercukai itu dianggarkan bernilai lebih RM2.7 juta.

Beliau berkata, operasi dijayakan secara bersepadu dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan dan Perkastaman JKDM Sabah.

“Operasi secara bersepadu dijalankan apabila kita menerima maklumat melalui penilaian risiko mesin pengimbas dan hasil risikan dalaman JKDM terhadap kegiatan penyeludupan di pintu masuk negara.

“Hasil pemeriksaan selama dua minggu ini berjaya merampas enam kontena daripada keseluruhan 20 kontena berisiko yang diperiksa.

“Sejumlah RM484,788 minuman keras berjaya dirampas di dalam enam kontena terbabit manakala manakala anggaran jumlah nilai duti dan cukai terlibat adalah sebanyak lebih RM2.7 juta,” katanya semasa sidang media di Wisma Penguatkuasaan Sepanggar di sini.

Beliau berkata, pihak penyeludup masih menggunakan modus operandi yang sama iaitu membuat pengikraran yang tidak betul iaitu memalsukan maklumat pada dokumen sebelum menyeludup masuk minuman ke negeri ini.

Katanya, antara pengikraran barangan yang dinyatakan termasuklah perabot, pakaian, alat elektrik, perkakasan serta barangan campur lainnya.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 52 dan 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 dan tidak lebih dari 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 mengikut mana yang lebih besar.

“Pesalah boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Nasir berkata, aktiviti penyeludupan bukan saja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, orang ramai disarankan supaya memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan ditalian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.

“JKDM juga turut memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat berkenaan adalah dirahsiakan,” katanya.- Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top