KOTA KINABALU: Program Jiwa Santai Anak Muda (JIWA) menjadi platform mendekati golongan belia.
Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Perkhidmatan Komunikasi Pembangunan Masyarakat, Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Sabah, Azman Sipan berkata, program tersebut merupakan kaedah terbaik untuk mendekati anak muda bagi menghebahkan info semasa.
“Program JIWA ini sebenarnya adalah salah satu cara untuk mendekati golongan muda kerana kita faham di kawasan seperti ini memang ramai belia yang datang untuk berhibur dan mengisi hujung minggu mereka.
“Oleh yang demikian, Pejabat Penerangan Daerah Kota Kinabalu mengambil inisiatif menganjurkan program ini di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu.
“Selain berhibur, program ini juga bertujuan untuk menghebahkan info semasa antaranya berkenaan scammer, berita palsu juga isu yang berkaitan dengan kesihatan dan sebagainya,” ujarnya semasa ditemui media selepas program berkenaan di Dataran Deasoka, pada Sabtu.
Dalam program berkenaan, kira-kira 1,000 pengunjung membanjiri Dataran Deasoka bagi menikmati persembahan nyanyian daripada artis Pentarama JaPen Sabah. – JAPEN Sabah