Jiwa Besar Yang Bernama Ahmad Zahid Hamidi

zahid.jpg
Kongsi Bersama

Hidup ini sentiasa menyediakan pilihan.

Dan presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuat satu pilihan apabila mengumumkan gencatan politik dan menyokong penuh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Betul atau tidak pilihan itu, ia bergantung pada di mana orang yang menilainya berdiri. Bagi yang mahu melihat politik terus panas dan kucar-kacir, ia adalah pilihan yang salah. Tidak hairan jika mereka ini mengecam Zahid tidak berpendirian, membuat pusingan U dan sebagainya.

Tetapi bagi yang mencintai keamanan, yang peduli pada keadaan negara yang diasak pandemik Covid-19, yang mahu melihat perpaduan Melayu/Islam kekal terpelihara, tindakan Zahid bukan sahaja dialu-alukan malah diberi pujian.

Mengatakan Zahid membuat pusingan U sama sekali tidak tepat. Dia tidak berjalan terus dan berpatah balik. Apa yang berlaku ialah dia sampai di satu persimpangan dan mempertimbangkan untuk membuat pilihan.

Kenyataannya mengenai sokongan sejumlah ahli UMNO kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim tempoh hari bukannya bersifat mutlak (absolute). Ia kenyataan terbuka yang bagi saya sekadar bertujuan menyedarkan rakan-rakan kongsi daripada terus dibuai lena.

Tentang kenapa Zahid membuat kenyataan itu hanya boleh dijawab jika kita bersedia meletakkan diri pada kedudukan beliau.

Zahid bukan sekadar ketua bahagian, bukan setakat AJK cawangan atau pemeriksa kira-kira lantikan. Dia presiden parti dan parti yang dipimpinnya bukan parti cap ayam. Ahlinya sahaja melebihi tiga juta orang. Sejarah perjuangannya pula sangat panjang sehingga meletakkan ia sebagai antara parti yang paling berpengaruh di dunia.

Zahid tidak mengambil alih parti itu sewaktu ia berada di puncak. Tidak. Dia diangkat menjadi presiden di atas puing-puing runtuhan UMNO. Ya, UMNO runtuh sebenarnya. Bagi sebuah parti yang besar dan hebat, terbalik sedikit tiada bezanya dengan parti kecil yang jatuh berdebuk dan hancur berkecai. Usain Bolt tidak perlu mendapat tempat kelapan untuk dikatakan kalah, jatuh ke tempat kedua sahaja sudah cukup untuk dikatakan kalah teruk.

Ada lagi. Zahid mungkin presiden UMNO yang pertama menerajui parti dalam keadaan kewangan parti ditekan. Jangan samakan dengan era awal kepimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman. Ketika itu UMNO parti baharu. Waktu Zahid ambil alih UMNO telah berumur lebih enam puluh tahun dan telah menerajui kerajaan selama lebih tiga perempat daripada usianya. Apalah maknanya jika aset UMNO yang banyak itu tetapi akaunnya dibekukan oleh kerajaan Pakatan Harapan, apa lagikah yang UMNO ada?

UMNO yang dalam keadaan seperti itulah dikemudi oleh Zahid Hamidi. Kalau bukan kerana kental semangatnya barangkali sudah lama dia terjun kapal di tengah pelayaran. Namun Zahid berjiwa besar. Dengan segala upayanya dia menggalas amanah yang diberi oleh ahli.

Tanpa jiwa besar Zahid barangkali hasrat sekian lama untuk melihat UMNO dan PAS duduk semeja mungkin tidak kesampaian. Zahidlah yang merealisasikan impian itu sehingga membawa kepada terbentuknya Muafakat Nasional.

Kerana jiwa besarnya Zahid tidak menghalang UMNO daripada turut sama menjayakan penubuhan kerajaan PN. Dengan kedudukan UMNO sebagai parti paling banyak jumlah kerusinya dalam perikatan itu, Zahid boleh sahaja meminta yang itu dan yang ini menerusi  ‘Langkah Sheraton’.

Tetapi Zahid tidak melakukannya. Dia lebih melihat pentingnya pembentukan perikatan yang dikuasai Melayu/Islam daripada mengambil kira soal kepentingan UMNO semata-mata.

Namun, Zahid juga manusia. Perlu diulang; dia adalah manusia yang memimpin sebuah parti dengan lebih tiga juta ahli di belakangnya. Jadi tolak ansurnya, mengalah tidaknya, bukanlah ditentukan oleh kehendak peribadinya sahaja, tetapi oleh tuntutan dan kehendak mereka yang berada di belakangnya.

Dengan perkataan lain, dia tidak boleh membuat keputusan untuk diri sendiri, sebaliknya untuk parti.

Suara-suara tidak senang terhadap kedudukan UMNO dalam PN bukanlah perkara baharu. Ia kedengaran sejak dari awal PN terbentuk. Sebenarnya ia bukan juga perkara pelik. Dalam mana-mana perkongsian, perasaan tidak puas hati sememangnya sentiasa ada. Tetapi disebabkan UMNO sebuah parti besar, keluhan dan rungutan tentulah kedengaran lebih banyak dan lebih kerap.

Perkara lain yang perlu diakui ialah, sementara sekumpulan ahli UMNO meraikan kesempatan membina ikatan Melayu/Islam dalam PN, ada kumpulan lain yang masih tidak dapat menyesuaikan diri dengan hakikat politik semasa. Mereka masih tidak dapat menerima erti hidup tanpa kuasa, atau menjadi orang kecil dalam struktur kuasa kerana UMNO bagi mereka adalah sebuah parti yang pernah dominan dan harus terus dominan.

Zahid terpanggang dalam senario ini.

Keadaan menjadi lebih buruk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Ada tindak-tanduk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM a.k.a BERSATU) tidak menyenangkan ahli-ahli UMNO, yang merasakan pengorbanan mereka selama ini tidak dihargai. Rasa tidak selesa terhadap PAS selaku sekutu dalam MN yang belum berdaftar itu turut menghantui kerana ada yang melihat PAS, kiri hendak kanan pun mahu.

Jika anda menjadi Zahid, apa yang anda akan buat? Diam, memerhati dan sekadar menggeleng-gelengkan kepala? Diam terus sementara suara yang mendesak supaya dia melakukan sesuatu semakin kuat?

Dalam begitulah timbulnya isu ‘sejumlah ahli parlimen UMNO’ menyokong ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri. Dan yang berkata begitu adalah Ahmad Zahid Hamidi, presiden UMNO sendiri.

Yang cerdik akal politiknya akan dapat menjangka bahawa tindakan Zahid itu tidak lebih daripada satu isyarat kepada rakan kongsi dalam PN, terutama teraju utamanya, BERSATU, supaya kembali mencermin keikhlasan dan komitmen mereka dalam perkongsian sedia ada. Ia mengajak BERSATU berfikir, untuk membuat pilihan sama ada ‘mahu kami bersama’ atau ‘mahu kami bersama orang lain’.

Mesej lain yang tersirat ialah jika ‘mahu kami bersama’ layanlah kami dengan seadil-adilnya; sebagai rakan kongsi terbesar, tetapi sanggup mengorbankan ‘status’ besarnya itu demi kemaslahan bersama.

Mesej itu sampai. Presiden BERSATU, yang juga perdana menteri sendiri memberi reaksi positif. Pintu rundingan mula terbuka. Tanda-tanda ke arah terbinanya ikatan yang lebih baik dan lebih teguh semakin jelas.

Jadi tidak timbul isu Zahid tidak berpendirian. Tidak timbul isu pusingan U. Apa yang Zahid lakukan adalah apa yang sepatutnya dilakukan.

Mengisytiharkan gencatan politik bermakna Zahid mahu memberi ruang secukupnya kepada Muhyiddin dan rakan-rakan lain dalam PN untuk menilai, mempertimbang dan menentukan bagaimana UMNO harus dilayan berdasarkan sumbangan besarnya selama ini.

Jika dia tidak berjiwa besar, Zahid boleh sahaja terus menggerakkan UMNO mendesak dan mengasak Muhyiddin.

Jika dia tidak berjiwa besar, Zahid boleh sahaja memejamkan mata terhadap masalah kerajaan – dan rakyat – yang terus dibelenggu isu Covid-19 sekarang ini. Malah dalam situasi beginilah, jika dia mahu mengambil kesempatan, Zahid boleh memperhebatkan desakan.

Tetapi Zahid tidak melakukannya.

Semoga jiwa besarnya dihargai, tidak hanya oleh rakan-rakan dalam PN, tetapi juga oleh kita – ahli-ahli UMNO sendiri.

 

Ir Ahmad Nazaruddin

Ipoh, Perak.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top