JIM Sabah Hantar Pulang 222 Orang PATI Indonesia

pati-2.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar pulang seramai 222 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Indonesia hari ini.

Pengarah JIM Sabah, Sh. Sitti Saleha Habib Yussof berkata program tersebut adalah siri ke-12 tahun ini dan merupakan kerjasama dengan Konsulat Jenderal Republik Indonesia, Kota Kinabalu.

“Semua PATI warganegara Indonesia tersebut telah ditahan di Depot Imigresen Tawau sejak tahun 2020 dan mereka dihantar pulang melalui Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia…

“Kesemua PATI yang ditahan telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan – Peraturan Imigresen 1963.

“Semua hukuman telah mengikut proses perundangan negara untuk mereka diusir keluar dari negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata proses tapisan kesihatan yang ketat termasuk ujian saringan COVID-19 dan proses pengasingan PATI turut dilakukan bagi memastikan tidak wujud penularan jangkitan COVID-19 sebelum penghantaran pulang dilaksanakan.

“Program Penghantaran Pulang ini merupakan sebahagian daripada aktiviti berterusan proses pengusiran oleh JIM Negeri Sabah bagi tahanan yang ditempatkan di Depot Imigresen seluruh negeri Sabah,” tambahnya.

Sitti berkata sepanjang tempoh 2021, JIM Negeri Sabah telah mengusir seramai 2,659 orang PATI yang melibatkan 1178 warganegara Filipina, 1115 warganegara Indonesia manakala 366 adalah dalam kalangan lain-lain negara.

“Dalam tempoh ini juga, JIM Negeri Sabah telah mengemukakan seramai 2000 orang tahanan (OT) warganegara Filipina kepada pihak Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur untuk proses penghantaran pulang memandangkan program berkenaan telah lama tertangguh sejak Jun 2021…

“Pemakluman yang diterima daripada wakil Kedutaan Filipina memakluman bahawa penghantaran pulang warganegara tersebut yang akan dilaksanakan melalui Pelabuhan Sandakan ke Zamboanga mula dibenarkan semula,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sedang mengharapkan ketetapan tarikh yang sesuai daripada Kerajaan Filipina bagi persediaan ‘Task Group’ pihak Filipina di Zamboanga dalam memastikan proses penghantaran pulang warganegara asing dapat berjalan dengan lancar. – Sabah News

 

Sumber foto: FB Jabatan Imigresen Negeri Sabah

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top