TAWAU: Seramai 153 pendatang tanpa izin (PTI) dipindahkan dari Pelabuhan Tawau untuk balik ke negara asal, semalam.
Semua PTI terbabit adalah tahanan warganegara Indonesia daripada Depot Imigresen Tawau yang dipindahkan menggunakan pengangkutan laut ke Pelabuhan Nunukan, Terminal Tunon Taka, Indonesia.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, pemindahan itu membabitkan seramai 123 lelaki dan 25 wanita.
Selain itu katanya, JIM turut menghantar pulang seramai lima orang kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
“Ini adalah program pemindahan siri Ke-10 untuk kategori Usir melalui laut bagi tahun 2024 ke negara asal masing-masing menggunakan pengangkutan Feri Purnama Express.
“Semua PTI berusia lingkungan enam tahun hingga 66 tahun dan kanak-kanak yang terbabit untuk penghantaran pulang kali ini adalah bersama ibu atau bapa atau penjaga masing-masing.
“PTI yang ditahan di Depot Imigresen melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
SH Sitti Saleha berkata, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.
Sehubungan itu, SH Sitti Saleha berkata, Jabatan Imigresen Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.
“Pemindahan PTI akan dilakukan selepas melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses undang-undang negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara masing-masing.
“Operasi Pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di seluruh Negeri Sabah,” katanya. – Utusan Borneo