Jika Yakin Dos Penggalak Selamat Tak Perlulah Surat Lepaskan Tuntutan Ganti Rugi – Dr Maza

dr-asri.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak harus mewajibkan orang ramai menandatangani surat melepaskan tuntutan ganti rugi sekiranya yakin dos penggalak vaksin Covid-19 selamat.

Beliau berkata demikian selepas mendakwa ramai orang memaklumkan ada penerima yang mendapat kesan buruk selepas menerima dos penggalak.

“Jika KKM yakin tiada risiko buruk dos penggalak, maka saya dengan ini mohon mencadangkan supaya penerima tak perlu tandatangan surat yang menghalang tuntutan ganti rugi, sebaliknya KKM memberi jaminan bayaran pampasan jika berlaku apa-apa kesan buruk kesihatan kepada penerima,” katanya dalam kenyataan.

FMT telah menghubungi Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah untuk mengulas kenyataan Asri itu.

Dalam pada itu, Asri mahu KKM membuktikan dos penggalak vaksin Covid-19 selamat dengan memberi jaminan pampasan akan diberi “jika berlaku kesan buruk ke atas penerima”.

“Jika tidak, saya lihat kemarahan rakyat dalam isu ini makin membesar dan sukar ditangkis oleh kerajaan,” katanya.

Pegawai Khairy ketika dihubungi berkata, menteri tidak akan memberikan sebarang reaksi kepada cadangan Asri itu.

Semalam, Khairy berkata, hanya segelintir penerima dos penggalak dilaporkan mengalami kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI).

Katanya, kadar pelaporan AEFI bagi dos penggalak direkodkan pada kadar 84 bagi setiap 1,000,000 dos, berbanding kadar pelaporan AEFI keseluruhan, iaitu 390 per 1,000,000 dos.

Asri sebelum ini menyuarakan kebimbangan berhubung keselamatan dos penggalak selepas bapanya dimasukkan ke hospital lebih seminggu, susulan keadaan kesihatannya merosot selepas menerima suntikan ketiga itu.

Pada 17 Jan lalu KKM berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian AEFI membabitkan bapa Asri. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top