KOTA KINABALU: Kenyataan penganalisis politik yang berpendapat Warisan “kaut untung lebih” jika bekerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) disifatkan sebagai kurang tepat, kata Setiausaha Agung Warisan Datuk Loretto Padua.
Katanya, PBS sebelum ini juga pernah menyertai gabungan lain dan soal siapa yang lebih mendapat manfaat tidak menjadi isu. Sebaliknya, katanya, faktor utama Warisan ingin menjalinkan kerjasama dengan PBS adalah kerana perjuangan kedua-dua parti yang hampir sealiran, iaitu demi rakyat Sabah.
“Saya bukan mahu mengkritik pandangan dan pendapat penganalisis politik. Mereka mempunyai hak untuk membuat analisis sendiri, tetapi bagi saya pendapat yang mengatakan Warisan ‘kaut untung lebih’ (jika bekerjasama dengan PBS) tidak begitu tepat kerana pandangan itu hanya menumpukan satu-satu parti saja.
“Perkara ini harus dilihat dari sudut lebih besar…kami mahu bekerjasama dengan PBS kerana parti itu mempunyai sejarah perjuangan yang hampir sama dengan Warisan,” katanya kepada FMT.
Tambahnya, PBS sebelum ini juga pernah bersama BN dan kini Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Siapa yang dapat lebih manfaat? Adakah BN atau GRS? Atau PBS itu sendiri?” soalnya.
Loretto turut menepis pandangan bahawa kecenderungan Warisan untuk bekerjasama dengan PBS adalah kerana tidak mampu bergerak sendirian.
Katanya, Warisan sedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan. Bagaimanapun, kelebihan serta kekuatan, selain perjuangan parti yang ingin dijalinkan kerjasama itu juga perlu diambil kira.
“Tiada maknanya kalau kita bekerjasama dengan parti yang tidak ‘perform’ – sebagai contoh ketika zaman Warisan Plus dulu, saya tidak mahu katakan parti mana,” katanya.
Beliau berkata, hasrat Warisan untuk bekerjasama dengan PBS telah diucapkan secara terbuka oleh Presiden Warisan Shafie Apdal, namun keputusan adalah di tangan PBS sendiri.
Terdahulu, penganalisis memberitahu FMT, Warisan akan mendapat lebih manfaat berbanding PBS sekiranya dua parti itu menjalinkan kerjasama politik bagi menghadapi PRU15.
Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, Warisan akan “mengaut untung lebih” jika kerjasama berlaku kerana mereka dapat menarik lebih ramai pengundi dari suku kaum Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR).
Sementara itu, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata, kecenderungan Warisan untuk bekerjasama dengan PBS menunjukkan parti itu berharap untuk tidak bergerak bersendirian pada pilihan raya akan datang, terutama di Sabah. – FMT