Oleh: Jaafar Abd Wahid
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin mencadangkan kepada kerajaan agar menyerapkan doktor yang dilantik secara kontrak ke jawatan tetap.
Menurut beliau sekiranya kerajaan mempunyai peruntukan tidak salah untuk melantik petugas kesihatan dan doktor ke jawatan tetap berdasarkan kepada kelulusan serta kelayakan mereka.
“Isunya iaitu doktor yang tidak berjawatan tetap memohon untuk diserapkan ke jawatan tetap. Jika tidak membebankan kerajaan bagi sajalah (lantik ke jawatan tetap),” katanya ketika mencelah ucapan Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Dr. Shahidn Kassim pada sesi perbahasan Persidangan Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 kemarin.
Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, terdapat keperluan untuk menambah bilangan doktor di negara ini khususnya di Sabah terutama dalam keadaan negeri itu menghadapi penularan Copvid-19 ketika ini.
“Dalam setuasi getir ini kita memerlukan lebih ramai doktor berada dibarisan hadapan bagi membantu dan merawat pesakit khususnya COVID-19 yang semakin meruncing ketika ini,” katanya.
Menurut Bung kalaupun tidak dapat dilantik ke jawatan tetap, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk melantik mereka secara kontrak dalam tempoh yang sesuai contohnya menawarkan kontrak perkhidmatan selama empat tahun kepada golongan itu, berbanding dua tahun yang ditawarkan sebelum ini bagi membolehkan mereka menjalani ujian kepakaran.
Tambah Bung isu kemampuan sistem kesihatan dan kesiapsiagaan petugas barisan hadapan dalam menghadapi pandemik ini perlu diselesaikan segera.
“Kerajaan perlu memberi keutamaan untuk menyelesaikan isu ini memandangkan petugas kesihatan termasuk petugas berstatus kontrak terpaksa memikul beban yang berat susulan peningkatan kes Covid-19 dalam negara pada masa ini,” katanya.
Ketika perbahasan tersebut Bung yang juga Menteri Kerja Raya sempat mengemukakan cadangan kepada Menteri kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba agar dapat membekalkan sebuah bot untuk kegunaan klinik kesihatan di Pulau Bangi, Kudat.
Katanya Klinik Kesihatan Bangi terletak di sebuah pulau dan apabila berlaku kes-kes kecemasan bagi membawa orang sakit dan bersalin untuk mendapatkan rawatan lanjutan ke hospital terdekat petugas di klinik kesihatan pulau itu akan berhadapan dengan masalah.
“Saya harap YB Menteri Kesihatan dapat memberikan pertimbangan untuk membekalkan sebuah bot untuk kegunaan Klinik Kesihatan Pulau Bangi,” katanya