KUALA LUMPUR: Persoalan mengenai wakil orang Cina dalam Kabinet Sabah sepatutnya tidak timbul jika masyarakat itu menyokong calon Cina dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, apa yang berlaku pada PRN lalu adalah masyarakat Cina menyokong DAP bukannya calon Cina khasnya MCA.
“Pengundi Cina sokong DAP. Jika sokong #MCA, tentu ada seorang TKM (Timbalan Ketua Menteri) untuk mereka.
“Begitulah realiti politik. Jangan salah pilih.
“Pada #PRU15 diharap kaum Cina boleh undi #MCA #BN agar ada wakil dalam Kerajaan,” ciapnya di Twitter.
Ahli politik seperti bekas pembantu menteri negeri, Datuk Pang Yuk Ming, menganggap 95 peratus undi daripada komuniti Cina memilih calon Warisan Plus.
Kesannya, calon Cina daripada GRS seperti MCA, PBS, dan SAPP tewas malah ada juga yang hilang deposit.
Perkembangan itu menyebabkan komuniti itu tiada wakil untuk dipertimbangkan Ketua Menteri baharu Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, untuk Kabinetnya.
Hajiji belum menamakan 5 lagi menterinya, boleh menamakan seorang atau lebih wakil komuniti Cina untuk mana-mana 6 jawatan Adun lantikan dan kemudian boleh dilantik menjadi Kabinet negeri.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Persatuan Cina Sabah, Tan Sri Goh Tian Chuan, secara tidak langsung menyentuh hal ini apabila menyeru ketua menteri membentuk sebuah kerajaan negeri yang berbilang kaum dan Kabinet yang pelbagai perlu untuk memastikan tiada kaum dipinggirkan.