Jika RoS Tak Lulus, UMNO Akan Jalankan Pemilihan Mengikut Jadual – Mat Hasan

tok-mat.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

UMNO akan mematuhi arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sekiranya diputuskan perlu mengadakan pemilihan parti pada hujung tahun ini, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata sekiranya permohonan pindaan Perlembagaan untuk menangguhkan pemilihan tidak diluluskan, parti akan mengadakan mesyuarat seperti dijadualkan pada hujung November dan pemilihan juga turut akan diadakan.

“Jika Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) lulus notis pindaan perlembagaan UMNO, mesyuarat akan berjalan seperti biasa tanpa ada agenda pemilihan jawatan.

“Jika ROS tidak luluskan, mesyuarat juga akan diadakan seperti dijadualkan dan akan ada pemilihan jawatan di semua peringkat iaitu cawangan, bahagian dan pusat.

“Pemilihan juga tidak lagi diadakan di Perhimpunan Agung UMNO. Jawatan untuk bahagian dan pusat dibuat pemilihan serentak di mesyuarat perwakilan UMNO bahagian,” katanya dipetik laporan BH.

UMNO ketika sedang menunggu maklum balas daripada RoS berhubung permohonan yang dibuat untuk meminda Perlembagaan parti bagi menangguhkan pemilihan dan tarikh akhir keputusan adalah pada 16 Julai (esok).

UMNO sebelum ini menangguhkan pemilihan parti di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun tahun lepas.

Jika dihitung, tempoh 18 bulan itu akan tamat hujung tahun ini dan pemilihan UMNO perlu diadakan sebelum 30 Disember 2022.

Tinggal beberapa hari menjelang tarikh akhir 16 Julai ini untuk RoS memuktamadkan keputusannya terhadap permohonan dibuat UMNO sebelum ini.

Perwakilan UMNO pada Perhimpunan Agung Khas 15 Mei lalu sebulat suara meluluskan beberapa resolusi untuk membuat pindaan perlembagaannya, termasuk membenarkan pemilihan dalaman selepas pilihan raya umum (PRU).

Notis pindaan perlembagaan itu dikemuka kepada RoS pada 17 Mei lalu manakala Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilaporkan berkata, RoS mempunyai masa hingga 60 hari untuk membuat keputusan berhubung permohonan pindaan itu.

Isnin lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata parti akan mengadakan pemilihan sebelum akhir tahun ini sekiranya ROS tidak meluluskan permohonan pindaan perlembagaan.

Beliau juga berkata, parti ada perancangan lain atau Pelan B jika mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pemilihan parti sebelum akhir tahun ini.

Bagaimanapun, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian tidak mahu mendedahkan butiran Pelan B yang dirancang UMNO sekiranya pemilihan parti tidak diadakan sebelum akhir tahun ini.

“Kami (ahli Majlis Tertinggi (MT) akan buat keputusan jika (pindaan perlembagaan tak diluluskan RoS. UMNO ada Pelan B, namun jika tak mahu Pelan B, maka kita akan buat pemilihan parti sebelum 29 Disember ini,” ujarnya. – Agenda Daily

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top