KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah berikrar akan mengeluarkan lapan daerah daripada kelompok termiskin jika gabungan itu menang PRN tahun depan, kata Pengerusinya Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin.
Ahli Parlimen Kinabatangan yang juga ADUN Lamag itu mendakwa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merupakan kerajaan negeri paling gagal dalam sejarah Sabah memandangkan janji menyediakan ratusan ribu peluang kerja tidak ditunaikan.
“Sabah kekal antara negeri termiskin dan mencatat kadar pengangguran antara tertinggi di Malaysia.
“Kalau benar ada begitu banyak peluang pekerjaan, mengapa kadar kemiskinan masih begitu tinggi.
“BN juga akan mempertingkatkan daya saing hidup rakyat melalui tawaran-tawaran baru dalam PRN akan datang. BN juga akan mengeluarkan lapan daerah termiskin di Sabah dan BN akan menyediakan ruang pinjaman perniagaan kepada anak-anak muda kelak,” katanya dalam kenyataan, yang dipetik FMT
Lapan daerah termiskin itu direkodkan di Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran, Ranau, dan Lahad Datu.
Dalam pada itu, bekas timbalan ketua menteri Sabah itu, berkata BN akan membangunkan pelabuhan bertaraf antarabangsa dan menaik taraf lapangan terbang di Kudat sekiranya diberikan mandat mentadbir kerajaan.
Kerajaan Sabah ketika ini diketuai Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor terdiri daripada GRS, Pakatan Harapan (PH), dan beberapa ADUN Umno yang enggan mengikuti penarikan sokongan parti itu terhadap Hajiji dalam ‘Langkah Kinabalu’ pada Januari 2023.
Umno Sabah, diketuai Bung, dan Warisan kini merupakan pembangkang di Dewan Undangan Negeri.