PAPAR: Surau baharu dengan peruntukan berjumlah RM250,000 akan dibina di Kampung Sapat, di sini bagi menggantikan surau asal yang musnah dalam kebakaran dua hari lalu.
Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pembinaan surau itu akan bermula dalam masa terdekat dan dijangka siap pada tahun ini.Ia adalah melalui peruntukan yang disalurkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke tapak surau itu semalam.
Mohd Arifin berkata, surau baharu itu akan dibina di tapak lama dengan menambah ruang pengurusan jenazah selain ruang solat.
Mengulas mengenai kerja-kerja menaik taraf Dewan Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) yang terletak bersebelahan dengan surau terbabit, Arifin berkata, dewan itu akan membolehkan lebih 30 jemaah menunaikan solat berjemaah.
“Sementara ini, jemaah yang akan menunaikan solat lima waktu akan menggunakan Dewan KAFA.
“Di samping itu, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Baitulmal dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) juga akan menyediakan kemudahan asas di surau sementara ini. Malah, dari masa ke masa kita akan memastikan surau yang baharu ini akan dibina dan siap pada tahun ini,” katanya.
Hadir sama dalam lawatan tersebut ialah Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan, Setiausaha Sulit Kanan Kepada Ketua Menteri, Datuk Armizan Mohd Ali dan Pegawai Daerah, Hadzlan Jablee.
Dalam pada itu, Arifin turut menyaksikan penyampaian Sumbangan Pengurusan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) kepada SMAN Pantai Manis Papar dan SMAN Toh Puan Hajah Rahmah masing-masing berjumlah RM 162,000 dan RM 216,000 kepada 21 guru tajaan Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS.
Penyampaian disempurnakan oleh Timbalan Yang DiPertua MUIS, Malai Ali Malai Ahmad kepada Pengetua SMAN Pantai Manis, Akbar Husain dan Pengetua SMAN Toh Puan Hajah Rahmah, Jonisah Harimin.
“Dengan sumbangan ini, kita berharap dapat menyuntik semangat kepada sekolah serta memberi sedikit motivasi kelapada guru-guru,” katanya.
Turut disampaikan, sumbangan aktiviti dakwah dan keagamaan bernilai RM5,000 kepada Pegawai Daerah, Hadzlan Jablee serta sumbangan khas pengurusan masjid kepada wakil Masjid Imam Pengiran Abdul Rauf Kg Pengalat Besar berjumlah RM5,000.
Pada majlis itu, MUIS juga menyampaikan sumbangan elaun bulanan RM300 kepada seorang pesakit buah pinggang bagi meringankan kos perubatan dialisis.
Foto: FB Arifin Arif