JHEAINS Disaran Main Peranan Tangkis Fitnah

adun-membakut.jpg
Kongsi Bersama

MEMBAKUT: Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Arifin Arif meminta para pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) supaya bertindak proaktif dalam menangani isu-isu semasa yang cuba dipesong oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga mampu memecahbelah umat Islam di negeri ini.

Katanya mereka (pegawai JHEAINS) turut memainkan peranan yang begitu penting dalam usaha memupuk kesejahteraan masyarakat Islam ketika ini yang penuh dengan cabaran serta ancaman pandemik yang melanda seluruh dunia.

“Saya minta supaya mereka menjadi orang hadapan dalam semua aspek untuk menangkis segala fitnah yang membawa kemudaratan dan kecelaruan di kalangan umat Islam sesuai dengan program JHEAINS Prihatin.

“Selari dengan tema keharmonian, kita juga perlu prihatin terhadap isu-isu yang menyentuh kepentingan ummah termasuklah prihatin terhadap golongan yang memerlukan sentuhan kebajikan, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Amanat dan Perasmian Program JHEAINS Prihatin sempena sambutan Maulidur Rasul 1442H di Dewan Kesenian Islam, pada Khamis.

Dalam perkembangan berkaitan, Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, turut menyarankan kepada imam-imam di negeri ini supaya bersama dalam menangkis dakyah-dakyah yang bertujuan mengelirukan umat Islam.

Selain menjadi ‘mata dan telinga’ kerajaan, mereka juga perlu menyampaikan perkara-perkara yang sahih kepada masyarakat agar mereka tidak semudahnya terpengaruh serta keliru dengan isu-isu berbangkit.

“Saya minta masyarakat supaya merujuk terlebih dahulu kepada pihak berwajib seperti JHEAINS sekiranya ada perkara-perkara serta pertanyaan tentang isu yang berkaitan hal ehwal agama. Sebarang keraguan hukum-hakam, fatwa, syariah dan akidah akan dirujuk kepada Mufti, dan Mufti adalah rujukan utama JHEAINS, ” katanya.

Terdahulu, Arifin turut menyampaikan bantuan Program MyAMAL Prihatin anjuran JHEAINS berupa bantuan asas keperluan harian kepada 30 penerima di Sekolah Agama Negeri (SAN) Binsulok dan SAN Pimping.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top