Jersi Matlan Marjan bernilai RM30,000

Jersi-matlan-marjan.jpg

Jersi yang mahu dijual oleh Matlan Marjan. FOTO MATLAN MARJAN

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: “Jika simpan tiada gunanya namun sekiranya jual sudah tentu ada hasilnya kerana terdapat pembeli yang sanggup membayar RM30,000.

Itu luahan bekas pemain kebangsaan, Matlan Marjan yang mahu melepaskan jersi kesayanganya yang sudah disimpan kira-kira 30 tahun kerana sudah tidak berminat lagi untuk menyimpan pakaian itu.

Matlan yang kini berusia 56 tahun berkata, jersi berkenaan meninggalkan seribu satu kenangan kerana digunakan pada final Piala FA 1994 antara Sabah menentang Kuala Lumpur dan perlawanan itu berlangsung di Stadium Merdeka.

Katanya, sejak dia mengiklankannya di Facebook ternyata jersi beliau ‘laku keras’ apabila ramai yang menyatakan minat untuk membeli dengan harga yang cukup tinggi.

“Ramai yang bertanya mengenai penjualan jersi itu namun apa saya nak katakan tiada guna simpan saja kerana lebih baik jual saja walaupun ia mempunyai sejarah dan kenangan.

“Saya memang ada berhadapan kesempitan kewangan namun tak adalah terlampau sesak kerana di Sabah, kita boleh lakukan apa saja pekerjaan untuk menyara hidup.

“Setakat ini, harga yang ditawarkan paling tinggi adalah RM30,000 dan saya akan tutup jualan pada Isnin ini,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, Matlan yang juga penyerang sensasi Sabah memuat naik gambar jersi final Piala FA 1994 di media sosial bertujuan untuk menjualnya kepada orang ramai.

Situasi terbabit ternyata mengejutkan ramai pihak yang menganggap bekas pemain itu berhadapan kesempitan hidup hingga terpaksa menjual koleksi peribadi yang dimiliki sejak puluhan tahun lalu.

Matlan pernah mencipta sensasi pada era 1990 an apabila berjaya merobek gawang pasukan England ketika perrlawanan persahabatan pada 21 jun 1991.

Pada perlawanan itu, Matlan menjaringkan dua gol namun perlawanan itu berkesudahan Malaysia tewas 2-4.

Sementara itu, Matlan berkata, beliau akan menyimpan jersi membabitkan perlawanan menentang England itu dan tidak menolak kemungkinan akan menjualnya kelak. – HMetro

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top