Jentera Pilihan Raya GRS Akan Dilancarkan 23 Oktober

Wanita-GRS.jpg

Azizah (duduk, tengah) selepas mesyuarat.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berikutan pembubaran Parlimen kata Ketuanya Datuk Seri Azizah Mohd Dun.

Beliau berkata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, yang juga pengerusi GRS, dijangka melancarkan sayap Wanita GRS dan jentera pilihan raya gabungan itu pada 23 Oktober di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dan selepas itu Wanita GRS akan mengadakan mesyuarat bersama-sama dengan ketua-ketua penyelaras dari 25 kawasan Parlimen.

“Sebelum ini, gerak kerja Wanita GRS sudah pun bersedia. Jentera kami turun sebagai satu nama GRS. GRS Sabah merangkumi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

“Kita turun dengan membawa nama Wanita GRS,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Wanita GRS semalam di Kota Kinabalu.

Turut hadir Timbalan Ketua Wanita GRS, Datuk Amisah Yassin, Setiausaha Wanita GRS, Datuk Redonah Bahanda, Ketua Wanita STAR, Datuk Flovia Ng, Ketua Wanita PBS, Datin Malianah Ugau, Ketua Wanita SAPP, Noraiza Noor, Setiausaha Kerja Srikandi Bersatu Sabah, Aziah Atoh, Timbalan Setiausaha Srikandi Bersatu Sabah, Fahzean Mohiddin dan Timbalan Ketua Penerangan Srikandi Bersatu Sabah, Halizah Din.

Azizah yang juga Ketua Srikandi Bersatu Sabah berkata Wanita GRS sudah lama turun padang bagi mendekati rakyat, mendalami permasalahan mereka serta menghulurkan bantuan tanpa mengira pegangan politik.

“GRS pun baru dua tahun penubuhannya. Janji kita bantu rakyat. Dari segi jentera, kita sudah bergerak bersama dan insya-Allah kita bersedia menghadapi pilihan raya umum ini dengan kerjasama semua parti komponen dalam gabungan GRS,” katanya.

Menurut Azizah, ketua-ketua Wanita GRS telah mengemukakan senarai nama-nama calon kepada pucuk pimpinan dan terpulang kepada pucuk pimpinan untuk menentukan berapa ramai dan siapa yang akan menjadi calon serta di mana mereka akan bertanding.

Tambah beliau lagi susulan daripada pembubaran Parlimen pada 10 Oktober, Jentera pilihan raya GRS di peringkat negeri dan Parlimen sudah sedia untuk diaktifkan dan semua parti komponen juga sudah membuat persiapan masing-masing atas semangat GRS.

Jelas Azizah kerajaan negeri pimpinan GRS-Barisan Nasional (GRS-BN) ketika ini masih mempunyai tiga tahun untuk melengkapkan tempoh DUN.

Ismail Sabri turut memberitahu semua negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor untuk membubarkan DUN masing-masing supaya pilihan raya negeri boleh diadakan serentak dengan PRU-15.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top