Oleh: Amiruddin Mohd Rosdi
KOTA KINABALU: PAS Sabah kini telah siap siaga bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata Setiausahanya Dr. Aliakbar Gulasan.
“Jentera pilihan raya di semua peringkat telah digerakkan dan bilik operasi juga telah digerakkan sepenuhnya. Jentera parti kini sudah bersedia untuk menghadapi PRU-15,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Perhubungan PAS Negeri Sabah yang dihadiri oleh pimpinan dan Yang Dipertua PAS Kawasan seluruh Sabah.
Mengulas lanjut, Dr. Aliakbar yang juga ADUN Sabah (Dilantik) berkata PAS Sabah telah menghantar senarai calon kepada PAS Pusat dan sudah diluluskan oleh Majlis Syura Ulama PAS.
“Kita yakin ada kerusi-kerusi yang kita boleh menang dan gerak kerja PAS sudah turun kepada masyarakat.
“Gerak kerja PAS telah dijalankan dalam pelbagai aspek bagi menyantuni rakyat antaranya program-program kebajikan, pendidikan, kemasyarakatan dan dakwah dalam institusi kelompok masyarakat,” katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) Sabah 2020, PAS Sabah tidak bertanding dan membantu calon Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional PN) yang bertanding sekali gus bersama dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).