Oleh: Jaafar Abd Wahid
KOTA KINABALU: Masih terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi dan ditambah baik oleh jentera Barisan Nasional (BN) di beberapa bahagian di negeri ini bagi menghadapi PRU Ke-15 agar tahap kesiapsiagaanya berada dalam kedudukan seratus peratus bersedia
Pengerusi Barisan Nasional Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, Ibu Pejabat BN Pusat dan negeri tidak hanya semata-mata bergantung kepada laporan di atas kertas tapi melihat kekuatan jentera di peringkat akar umbi yang akan menentukan kemenangan (BN) dalam PRU akan datang
Menurut Ketua Umno Sabah itu, jentera di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan juga cawangan perlu diperkasakan serta melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya.
“Kunci kemenangan adalah kekuatan jentera akar umbi. Yang penting buat kerja yang terbaik di peringkat PDM, cawangan, kita bekerja cara mahu menang dan kekuatannya ada di sini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi Libat Urus PRU Ke-15 Biro Politik Umno bahagian bahagian Negeri Sabah bersama Timbalan Presiden Umno Dato Seri Utama Mohamad Hasan di Bangunan Umno, di sini pada Ahad.
Hadir sama Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin , Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan, Setiausaha BN Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua Pemuda Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Bung berkata tiada gunanya Umno/BN hanya kuat di peringkat bahagian tetapi di peringkat PDM berterabur justeru beliau mahu di peringkat PDM terus diperkasakan.
“Pada PRU kali ini jentera serta ahli perlu menampilkan semangat yang luar biasa kerana kita menuntut kemenangan untuk membentuk kerajaan yang stabil,” katanya.
Bung menambah pada PRU akan datang, jentera negeri akan berhadapan secara berseorangan jadi kesiapsiagaan perlulah menyeluruh. Disebabkan itu semua parti komponen BN disetiap bahagian akan bergerak sebagai jentera BN dan bukannya mewakili parti masing-masing.
Mengulas sambutan ahli parti BN dalam program Pelancaran Gelombang Biru dan Pelancaran Jentera BN yang telah diadakan di beberapa bahagian di negeri ini, Bung yang juga Ketua Umno bahagian Kinabatangan berkata sambutan agak luar biasa.
“Semangat dengan kehadiran yang ramai ketika pelancaran menunjukkan komitmen yang tinggi di kalangan ahli dan jentera parti dan semangat ini perlu kita bawa turun ke bawah itu ke peringkat PDM apabila PRU Ke-15 diadakan dan Program Gelombang Biru serta Pelancaran Jentera BN ini akan kita teruskan ke beberapa bahagian mengikut jadual yang telah ditetapkan,” tambah beliau.
Mengenai calon Bung berkata BN Sabah khususnya Umno sudah menerima senarai calon yang dicadangkan dari setiap bahagian
“Kita sedang meneliti dan memperhalusinya sebelum memuktamadkan bila tiba masanya kita mengumumkan calon-calon yang bertanding,” katanya.