Jenayah Sabah Menurun, Tempat Ketiga Penyelesaian Kes Jenayah Malaysia

sidang-media-polis.jpg

Jauteh memberikan penerangan semasa sidang media di IPK Sabah.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Polis Kontinjen Sabah mencatatkan penurunan kes jenayah di negeri ini sebanyak 59.6 peratus dengan catatan hanya 1,625 kes bagi tempoh Januari sehingga 31 Mei lalu berbanding 1,728 bagi tempoh sama tahun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata pada masa sama, PDRM Sabah turut mencatat kejayaan menduduki tempat ketiga bagi penyelesaian kes jenayah di Malaysia.

“Walaupun kes jenayah menunjukkan penurunan ketara secara keseluruhan, tetapi kita mendapati bahawa jenayah kekerasan meningkat sedikit sebanyak 228 berbanding tahun lepas sebanyak 186 bagaimanapun jenayah harta benda tetap menurun sebanyak 1,398 berbanding 1,542 tahun lalu.

“Polis Kontinjen Sabah juga berjaya menyelesaikan 72 peratus daripada kes jenayah termasuk kes gaduh dan gaduh berkumpulan menjadikan Sabah di kedudukan ketiga dalam ranking penyelesaian kes di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Dataran Kawad, IPK Sabah, di sini.

Beliau berkata kes tangkapan dadah turut meningkat bagi tempoh sama membabitkan seramai 6,595 tangkapan dalam 6,218 kes berbanding 5,562 tangkapan untuk 5,259 kes tahun lalu.

Tambahnya sejumlah RM1.4 juta rampasan pelbagai jenis dadah termasuk RM1.3 rampasan syabu bagi tempoh terbabit.

Dalam pada itu Jauteh menyeru agar semua warga PDRM Sabah memberikan perkhidmatan yang terbaik serta berkualiti tinggi dengan meletakkan keadilan dalam melaksanakan tanggungjawab.

“Saya tegaskan warga PDRM tanpa mengira pangkat agar sentiasa meletakkan keadilan dalam melaksanakan tanggungjawab tanpa memilih siapa dengan kata lain jangan pilih kasih atau pilih bulu.

“Jangan hanya kerana seseorang itu mempunyai pengaruh atau mempunyai hubungan baik dengan kita maka kita memberikan keistimewaan sehingga melanggar tatasusila kerjaya sebagai seorang anggota polis.

“PDRM mestilah menjaga nama baik dan martabat tugas dengan cara menjaga integriti dan kewibawaan pasukan PDRM sebagai penguatkuasa undang-undang utama di negara ini,” katanya.

Tambahnya anggota polis juga jangan sama sekali menyalahgunakan kuasa yang ada, membuat penyelewengan dan sebagainya untuk mengelak tanggapan buruk dalam kalangan masyarakat.

“Anggaplah kerja dan amanah yang kita laksanakan ini adalah sebagai satu bentuk ibadah yang akan kita tuai hasilnya di akhirat kelak, dengan sedemikian pastinya kita akan merasa gembira untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab berkenaan.

“Saya juga menyeru semua warga PDRM mendukung apa sahaja arahan dan hasrat pucuk pimpinan demi kebaikan PDRM serta keselamatan negara dengan cara melibatkan diri dalam semua aktiviti atau program yang dianjurkan kerana kalau bukan kita, siapa lagi yang akan mendukung dan menyokong PDRM sendiri,” katanya. – UTUSAN BORNEO

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top