‘Jelajah’ Serah Geran NT: BERSIH Kata ‘Tak Okay’

geran-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Menjelang pilihan raya negeri (PRN) Sabah, Ketua Menteri sementara Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjelajah negeri ini sejak beberapa hari lalu untuk menyerahkan pemilihan hak tanah kepada penduduk.

Dalam laporannya semalam Malaysiakini menyebut bahawa berdasarkan berita, Shafie telah menyerahkan 1,309 geran tanah adat negeri (NT) dalam tempoh lima hari.

Kelmarin, Shafie berada di Kinabatangan bagi menyampaikan 240 geran.

Semalam, dia menyampaikan 399 geran NT di hujung utara Kudat.

Pada hujung minggu lalu, Shafie menyampaikan geran tanah adat kepada penduduk kampung di daerah tenggara Tawau (318 NT) dan Lahad Datu (352 NT).

Majlis penyampaian geran tanah dan jelajahnya dijangka berterusan di Kuala Penyu di pantai barat, Beluran di Sabah dan di kawasannya Semporna, yang terletak di bahagian tenggara negeri itu.

Tindakan Shafie itu jelas tidak menggembirakan pemantau pilihan raya, BERSIH yang mendakwa Shafie dan Warisan menggunakan jentera negeri itu untuk berkempen menjelang pilihan raya yang akan diadakan pada September.

Pengerusi Bersih, Thomas Fann berkata sumber negeri tidak boleh digunakan untuk tujuan berkempen, terutamanya setelah dewan undangan negeri (Dun) dibubarkan pada 30 Julai.

“Tiada undang-undang bagaimana kerajaan sementara harus bertindak tetapi penggunaan sumber negeri setelah DUN dibubarkan dapat ditafsirkan sebagai berkempen dan menyalahgunaan kedudukannya sebagai ketua menteri sementara.

“Penyalahgunaan sumber negeri untuk keuntungan politik melanggar semangat pilihan raya yang bebas dan adil,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, Pengerusi Tetap Warisan dan ahli parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong menjelaskan bahawa mengeluarkan geran tanah adat tidak dilakukan dengan mengambil kira pilihan raya negeri kerana proses itu bermula sejak “berbulan” yang lalu.

“Perlu waktu berbulan-bulan untuk Jabatan Tanah dan Ukur mengeluarkan geran, mereka harus pergi ke lapangan untuk meninjau,” katanya kepada Malaysiakini.

Tidak dapat dipastikan sama ada hak milik tanah yang diserahkan sekarang telah dikeluarkan sebelum atau selepas 30 Julai.

Usaha untuk mengesahkan tarikh dengan jabatan tersebut tidak berjaya.

Geran tanah adat negeri diiktiraf sepenuhnya di bawah undang-undang.

Pemegang hak geran tersebut mempunyai hak milik kekal, dan hanya boleh menjual tanah mereka kepada penduduk asal Sabah.

Liew yang merupakan bekas menteri undang-undang sewaktu pentadbiran kerajaan PH dan ahli politik veteran Sabah, berkata kerajaan negeri hanya memberikan penduduk asal apa yang mereka miliki di bawah Ordinan Tanah Sabah.

“Tetapi, ketua menteri sebelum ini, baik Musa Aman atau Joseph Pairin Kitingan – mereka tidak mempunyai kehendak politik, visi atau impian (untuk perkara ini).

“Jadi sekarang kita mempunyai pemimpin yang penyayang, Shafie Apdal yang mahukan orang asal Sabah memiliki tanah.

“Jadi, dia memerintahkan Jabatan Tanah dan Ukur untuk mempercepatkan proses untuk sesuatu yang telah ditunggu oleh penduduk yang menunggu selama 30 tahun,” katanya.

Jabatan itu diletakkan di bawah Jabatan Ketua Menteri.

Sementara itu, Shafie memberitahu sidang media hari ini bahawa dia dan agensi-agensi negeri dibenarkan menjalankan tugas selagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum mengeluarkan writ pilhan raya.

Shafie mendakwa pengeluaran hak milik tanah tidak ada kaitan dengan pilihan raya dan dia telah mengemukakan dokumen-dokumen tersebut kepada individu yang berkelayakan sejak tahun lalu.

“Writ (pilihan raya) tidak ada, (jika) writ itu ada jadi lainlah ceritanya.

“Saya boleh bagi bantuan, bukan kita nak pancing undi,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan geran tanah adat negeri di Kudat.

Namun, pemerhati di Malaysia Timur dan pensyarah dari University of Tasmania, James Chin, berkata Warisan telah mengeluarkan geran tanah tersebut selama 26 bulan sejak berkuasa tetapi tidak sekerap sekarang.

“Ini (geran tanah adat negeri) adalah masalah sekian lama tetapi diselesaikan sekarang kerana pilihan raya negeri menjelang tidak lama lagi,” kata penganalisis politik itu.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top