Jelajah Jiwa SME 2023 Bermula, Lokasi Pertama Di Sabah

jelajah-SME.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Jelajah Jiwa SME 2023 kini bermula dengan menjadikan Sabah sebagai destinasi pembukaan bagi acara berkaitan keusahawanan, persidangan dan karnival di bawah anjuran Astro AWANI Network Sdn Bhd (Astro AWANI).

Bertemakan ‘Gelanggang Inspirasi Usahawan’, acara yang memasuki edisi ketiga sejak ia diperkenalkan pada tahun 2019 itu menyasarkan penglibatan sebanyak 30,000 orang pengunjung bagi acara yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu ini di Imago Shopping Mall, Kota Kinabalu, Sabah.

Pengarang Eksekutif Kandungan Jenama Astro AWANI, Zaiful Ariffin berkata, pihaknya menumpukan inisiatif dalam mempromosikan produk usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berdasarkan zon yang bakal dilawati selain menjadi platform penghubung dengan pelbagai agensi kerajaan.

“Jiwa SME turut memberi fokus terhadap solusi yang boleh diberikan kepada para usahawan PMKS terlibat kerana kita tahu dalam beberapa tahun lalu, khususnya susulan pandemik COVID-19, ramai usahawan terpaksa gulung tikar dan jika masih bertahan pun kini berdepan kesulitan untuk bangkit semula.

“Kami mendalami perkara tersebut, oleh demikian menerusi acara ini kita tidak hanya membawa pakar-pakar solusi tempatan tetapi turut melibatkan agensi kerajaan di bawah Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk bertemu dengan para usahawan serta melakukan sesi berkaitan termasuk berhubung isu kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 selepas sesi flag off Jelajah Jiwa SME 2023 di sini pada Khamis.

Edisi penjelajahan di Sabah bakal membawakan sesi perkongsian ilmu di pentas bersama ikon keusahawan iaitu Richard Ker, Lan Solo, IKSnita, Jessica Yew serta Denny.

Selain itu, pengunjung dan usahawan boleh mengakses khidmat nasihat, latihan dan pembiayaan perniagaan melalui semua agensi di bawah KUSKOP seperti TEKUN Nasional, INSKEN, Bank Rakyat, SME Bank dan banyak lagi di reruai yang tersedia.

Terdapat lebih 25 reruai di sediakan pada Jelajah Jiwa SME 2023 di Sabah.

Jiwa SME 2023 akan menyusuri lima lokasi di Malaysia iaitu Sabah (Zon Borneo), Johor Bahru (Zon Selatan), Kelantan (Zon Pantai Timur), Pulau Pinang (Zon Utara), dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Zon Tengah).

Dalam pada itu, menurut Pengurus Acara Bersama Jiwa SME 2023, Sam Bahren Ali, pihaknya optimis terhadap sambutan luar biasa yang akan diterima pada acara berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini melihat kepada maklum balas menerusi platform online yang diterima.

“Persiapan kali ini adalah lebih rapi… perbincangan serta kerja-kerja pelaksanaan turut berlangsung dari awal tahun lagi.

“Justeru, kami menjangkakan dan optimis terhadap sesuatu yang luar biasa akan berlaku khususnya penglibatan dari usahawan PMKS di Sabah.

“Kita ingin memastikan inisiatif yang dibawa melalui Jiwa SME 2023 kali ini akan memberi impak besar kepada mereka terlibat selain perubahan dalam landskap ekonomi di negeri ini khususnya bagi penjelajahan pembukaan,” ujarnya.

Sebagai rekod, persidangan sulung Jiwa SME dianjurkan acara fizikal pada tahun 2019 sebelum beralih sepenuhnya secara virtual ketika era pandemik COVID-19.

Acara ini kemudiannya kembali bertemu orang ramai secara bersemuka pada tahun ini dengan menjelajah ke beberapa buah negeri bertujuan mendekati dengan lebih rapat PMKS dan penonton Astro AWANI.

 

Sumber: AWANI

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top