~KOTA KINABALU: Jejambat Hilltop Luyang yang mengalami keretakan akan diperbaiki segara oleh syarikat konsesi yang diberikan tangungjawab oleh kerajaan menyelanggara jalan berkenaan.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin memberi tahu kerja-kerja penyelenggaran ini akan dilakukan oleh syarikat konsesi yang menyelrnggara jalan ini disebabkan syarikat yang membina jejambat tersebut telah pun menyerahkan kepada kerajaan sebelum ini setelah kerja kerja pembinaan disiapkan sepenuhnya dan boleh digunakan.
“Setakat ini jalan ini masih boleh dilalui oleh kenderaan, bagaimanapun kita menutup sebelah lorong atas dan bahagian bawah untuk tujuan keselamatan pengguna selain memasang papan tanda amaran,”, katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan mengejut bagi meninjau keretakan yang berlaku di jejambat tersebut petang kelmarin.
Turut serta dalam lawatan tersebut Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah Mohd Jasmin Julpin, Pengarah Jabatan Kerja Raya Ali Ahmad Hamid, pegawai-pegawai kanan kementerian serta wakil dari syarikat konsesi.
Bung menambah selain faktor hujan berterusan keretakan berlaku disebabkan dua struktur yang berbeza dan di bawah jejambat tersebut terdapat perparitan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)
“Kerja-kerja pembaikan ini perlu dilakukan segera bagi meredakan kebimbangan orang ramai khususnya pengguna jalan raya selain untuk tujuan keselamatan agar kerosakan yang sedia ada tidak melarat.
Ketika diminta mengulas isu jumlah keruntuhan jalan raya yang berlaku di negeri ini ekoran hujan lebat yang berterusan Bung yang juga Ketua Umno Sabah berkata, pihak Kementerian Kerja Raya sedang mengumpul data tersebut dan tidak menolak lebih dari 10 batang jalan raya mengalami keruntuhan.
“Kita sedang mengumpulkan data berkenaan dan kita juga tidak menolak kemungkinan akan berlaku lagi beberapa keruntuhan jalan raya sekiranya hujan lebat berterusan,“ jelas Bung.