KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan meminta kerajaan Sabah terus kekal dengan pendirian memberi kelonggaran SOP seperti yang sudah diputuskan termasuk kebenaran makan di restoran, demikian lapor Utusan Malaysia.
“Kita membuat keputusan ini setelah mengambil kira kawalan SOP di restoran mudah untuk dipatuhi kerana boleh menetapkan bilangan pelanggan yang dibenarkan duduk di setiap meja.
“Kita lebih tahu apa yang sedang kita lakukan maka, kita perlu kekal dengan keputusan ini.
“Di Sabah, kita seharusnya mematuhi SOP yang ditetapkan di negeri ini kerana jika dilihat cara kita mengendalikan penularan jangkitan Covid-19 lebih baik berbanding mereka (Semenanjung). Jadi, mereka yang patut mengikut cara kita,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri dan juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata, kerajaan negeri juga seharusnya membenarkan pergerakan rentas daerah antara zon hijau serta membuka semua sektor dalam zon tersebut. Tapi, kemasukan daripada zon lain perlu dikawal agar tiada jangkitan baharu.
Pada Isnin, kerajaan negeri mengumumkan beberapa aktiviti dan sektor ekonomi dibenarkan beroperasi di Sabah bermula semalam dan ia termasuk kebenaran makan di restoran, operasi kedai gunting rambut, gerai tepi jalan serta aktiviti sukan tidak bersentuhan.
Bagaimanapun, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mempertikaikan keputusan kerajaan Sabah melonggarkan SOP PKP semasa Fasa 1 PPN yang telah ditetapkan oleh MKN.
Katanya, semua negeri sepatutnya melaksanakan satu SOP yang standard sahaja. Kerajaan sudah memutuskan mesti ada satu standard SOP di seluruh negara jadi, negeri-negeri tidak sepatutnya membuat SOP sendiri yang berbeza-beza.