KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang juga calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Parlimen Keningau tekad untuk terus menuntut hak Sabah daripada Kerajaan Persekutuan.
Katanya, itulah sebabnya beliau mahu mempertahankan kerusi Parlimen Keningau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan mengharapkan sokongan rakyat kawasan ini pada hari mengundi, Sabtu ini.
Jeffrey mendakwa, hak Sabah ke atas pulangan bersih 40 peratus hasil yang dipungut oleh Kerajaan Pusat di negeri ini sudah lama hilang jika bukan kerana pengetahuan mendalam beliau mengenai perkara itu.
Dakwanya, Kerajaan Pusat menganggap perkara itu sudah selesai selepas membayar geran khas RM125.6 juta kepada kerajaan Sabah pada awal tahun ini.
“Saya diberitahu bahawa RM125.6 juta itu adalah bayaran interim sehingga kita mendapat bayaran 40 peratus itu tetapi apabila keluar ‘gazette’ (warta) dari Kerajaan Pusat, mereka kata ini sebagai ganti (tuntutan) 40 peratus itu.
“Dalam mesyuarat ada senarai perkara yang sudah selesai dan belum selesai. Saya lihat perkara mengenai 40 peratus itu sudah dimasukkan dalam senarai perkara yang sudah selesai.
“Jadi, saya tuntut agar dimasukkan balik dalam senarai perkara yang belum selesai walaupun mereka sudah membayar kepada Sabah RM125.6 juta,” katanya dalam kenyataan, di sini, pada Selasa.
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu berkata, selaku Timbalan Ketua Menteri Sabah dan menteri yang mempengerusikan jawatankuasa mengenai Perjanjian Malaysia (MA63) di peringkat negeri, beliau juga berada dalam Majlis Khas MA63 (MKMA63) Kerajaan Pusat.
Jeffrey mendakwa, jika beliau tiada dalam majlis berkenaan, hak Sabah terhadap tuntutan 40 peratus itu sudah hilang.
“Inilah sebabnya saya masih mahu dipilih ke Parlimen. Ini sebab kenapa kita mesti ada pemimpin yang memahami mengenai MA63 dan hak-hak Sabah di dalam persekutuan,” katanya.
Beliau berkata, perjuangan hak Sabah dalam MA63 dan Perlembagaan Persekutuan sudah lama sinonim dengan dirinya, malah beliau mengaku pernah diburu dan dipenjarakan kerana memperjuangkan hak berkenaan.
Katanya, walaupun Kerajaan Persekutuan sudah mengembalikan beberapa kuasa kepada Sabah, usaha masih diteruskan untuk mendapatkan hak yang lebih besar iaitu hak kewangan.
“Tanpa kewangan, kita tidak dapat membangunkan negeri kita ini. Kita akan sentiasa minta daripada Kerajaan Pusat dan kita akan sentiasa miskin,” katanya.
Beliau berkata, jumlah pungutan bersih hasil yang dipungut Kerajaan Persekutuan dari Sabah mencecah RM60 bilion setahun, yang bermakna Sabah layak mendapat RM20 bilion setelah ditolak RM10 bilion dana untuk pelbagai pembayaran seperti geran jalan raya.
Jumlah itu, katanya, mampu menjana perubahan sosioekonomi dan peningkatan kehidupan rakyat Sabah.
“Inilah perjuangan saya yang belum selesai. Sebab itu saya mohon dipilih semula ke Parlimen supaya saya boleh terus mengejar hasil ini untuk Sabah,” katanya.
Jeffrey yang memenangi kerusi Parlimen Keningau dengan majoriti tipis 45 undi pada PRU14 berdepan saingan empat penjuru menentang calon Pakatan Harapan (PH), Grelydia Gillod; calon Parti Warisan (WARISAN), Rasinin Koutis @ Kautis dan calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Jake Nointin. – Bharian