KOTA KINABALU: Perjanjian Pemuliharaan Alam Semula Jadi (NCA) adalah semata-mata untuk tujuan memulihara hutan Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.
Beliau berkata perjanjian itu juga membolehkan syarikat berpangkalan di Singapura, Hoch Standard Pte Ltd, memperdagangkan karbon terbiar dan merealisasikan nilai kewangan karbon melalui sains.
“Syarikat berkenaan akan mencari pembida yang akan menawarkan harga terbaik kepada kerajaan negeri,” kata beliau yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah dalam satu kenyataan pada Jumaat sebagai reaksi balas kepada bekas Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.
Shafie sebelum ini telah menggesa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membatalkan perjanjian NCA serta-merta berikutan laporan yang didakwa oleh media antarabangsa Al Jazeera.
Jeffrey berkata, adalah tidak terfikir untuk kerajaan GRS membatalkan dan menghentikan NCA seperti yang dicadangkan oleh Shafie.
Beliau juga mendakwa ketika Shafie menjadi ketua menteri, beliau juga mengusahakan perjanjian karbon yang sama tetapi tidak dapat menyelesaikannya kerana Parti Warisan kalah dalam pilihan raya.
“Warisan juga menganjurkan seminar mengenai perkara itu. Ia dirasmikan oleh timbalan ketua menteri Shafie Datuk Seri Panglima Madius Tangau,” katanya.
Jeffrey mendakwa di bawah perjanjian karbon Parti Warisan, Shafie telah bersetuju dengan formula 51-49: 51 peratus untuk kerajaan dan 49 peratus untuk syarikat itu.
Sebaliknya beliau berkata, NCA semasa yang dipersetujui oleh kerajaan GRS menetapkan kerajaan akan mengambil 70 peratus daripada keuntungan manakala syarikat yang akan bertanggungjawab ke atas semua aspek perniagaan termasuk pemasaran dan jualan, hanya akan menerima 30 peratus.
Katanya lagi, memandangkan perjanjian sekarang ini lebih baik tidak mungkin kerajaan GRS membatalkan dan menghentikan NCA seperti yang dicadangkan oleh Shafie.
Jeffrey juga berkata bahawa Shafie silap apabila menilai keupayaan syarikat kerana cara konvensional gagal memasukkan kesalinghubungan dan rangkaian syarikat, serta pemegang saham dan pengarah syarikat, atau kewujudan syarikat atau syarikat tujuan khas.
“GRS melakukan segala yang termampu untuk membangunkan Sabah dan kami sedang menumpukan usaha untuk membina semula ekonomi pada masa yang sukar ini.
“Membatalkan perjanjian itu akan menyebabkan Sabah terpaksa bekerja keras semula, sekali gus melambatkan pembangunan yang telah dirancang,” katanya.
Jeffrey selanjutnya menekankan bahawa kerajaan GRS tidak mahu menguruskan Sabah seperti yang dilakukan oleh kerajaan sebelumnya.
“Bagaimanakah kita boleh mengharapkan hasil yang berbeza jika kita terus menggunakan strategi yang sama yang telah terbukti tidak berkesan?” tegas beliau.