TAMPARULI: Dua pengusaha ladang ternakan babi diingatkan untuk menyelesaikan isu pencemaran akibat sisa buangan najis ke sungai berhampiran, dengan kadar segera.
Dua ladang ternakan itu didakwa menjadi punca kepada pencemaran air dan udara di daerah ini.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, ladang ternakan babi telah diminta untuk memperbaiki sistem buangan najis di ladang mereka.
Ini ekoran beberapa aduan dikemukakan oleh penduduk kampung yang mendapati ladang tersebut membuang sisa buangan ke sungai berhampiran.
Jeffrey berkata, biarpun kerajaan menyokong perkembangan industri ternakan namun, peladang perlu bertanggungjwab bagi memastikan ladang mereka tidak mengundang ketidak selesaan dalam kalangan penduduk berhampiran.
Beliau berkata, industri ternakan ini perlu disokong kerana kementerian tersebut terlibat dalam pengeluaran makanan.
“Tapi dalam masa sama, situasi di ladang ternakan perlu ditambah baik. Berdiri di sini pun sudah terhidu bau yang kurang menyenangkan. Saya dapat bayangkan apa penduduk kampung di sini terpaksa lalui setiap hari,” katanya semasa lawatan ke Ladang GreenFarm Trading dan Ladang Jadima, di sini pada Jumaat.
Menurutnya, masalah ini berlaku disebabkan sistem buangan dari ladang ke kolam akan melimpah keluar ketika musim hujan dan itu menyebabkan sisa buangan yang berbau mengalir ke sungai berhampiran.
Beberapa hari lepas, sungai tersebut bertukar menjadi hitam dan berbau dan penduduk kampung menyalahkan ladang ternakan berhampiran.
Jeffrey berkata, kedua-dua ladang ternakan itu mempunyai kolam untuk merawat sisa buangan. Keadaan ini boleh ditangani dengan mengurangkan jumlah ternakan dan membina lebih banyak kolam rawatan sisa buangan najis.
“Ini lebih kepada perladangan yang tanggungjawab dan bukan soal keuntungan semata-mata. Penyelesaian jangka pendek yang boleh diambil adalah dengan menggunakan lori pengepam septik bila kolam hampir penuh. Inilah cara bertanggungjawab menguruskan sisa buangan najis ternakan berbanding hanya membuang lebihan itu ke sungai.
“Langkah ini perlu dilakukan segera. Tidak perlu tunggun sehingga ada aduan barulah pengusaha ladang mahu mencari jalan penyelesaian,” jelasnya.
Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Veteriner Sabah (DVS) juga telah menasihatkan kedua-dua pemilik ladang.
Sekiranya pengusaha ladang ternakan masih gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP), mereka boleh dikenakan saman oleh Jabatan Perlindungan Alam Sekitar atau diarah untuk memberhentikan operasi oleh Pihak Berkuasa Tempatan.
Beliau berkata, kementerian melalui DVS akan terus memantau keadaan ini, bukan hanya di dua ladang di Tamparuli tetapi juga seluruh Sabah bagi memastikan semua ladang mengekalkan tahap pencemaran kepada sifar.